Wujudkan sistem hotline bersepadu, tangani jalan berlubang – Pakar

Wujudkan sistem hotline bersepadu, tangani jalan berlubang – Pakar

MASALAH jalan berlubang yang umpama mimpi ngeri bagi pengguna dilihat bagai tiada penghujung kerana kebanyakannya lambat diselesaikan berikutan ketiadaan penyelarasan bagi setiap aduan jalan rosak, kata pakar.

Timbalan Pengarah Institut Kejuruteraan Infrastruktur dan Pengurusan Mampan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam Prof Ir Dr Ahmad Kamil Arshad berkata sistem hotline bersepadu yang melibatkan koordinasi semua pemilik jalan antara langkah terbaik yang boleh diguna bagi menyelaraskan setiap aduan jalan rosak atau berlubang ditangani segera.

“Pihak yang menyelenggara sesuatu jalan itu lazimnya sudah mengetahui ia di bawah tanggungjawabnya, namun masih ramai pengguna tidak tahu untuk menyalurkan aduan dan mereka akan menyalahkan satu pihak sahaja, jadi aduan mungkin akan lambat atau tidak sampai,” katanya.

Ahmad Kamil berkata selain penyelenggaraan jalan di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR), kebanyakan jalan di negara ini termasuk jalan bandaran dimiliki oleh agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya berpandangan jalan di bawah seliaan JKR dan konsensi lebuh raya tidak banyak masalah kerana mereka mempunyai pegawai terlatih dan pengawasan mereka juga secara berkala, namun tidak bagi PBT yang tidak ada pasukan tindak balas yang dapat menerima aduan dan memulakan tindakan membaiki kerosakan jalan.

“Seharusnya, PBT mewujudkan pasukan tindak balas itu dan juga mereka perlu dilatih dengan kemahiran supaya setiap penyelenggaraan jalan dijalankan secara optimum dan cekap bagi mengurangkan masalah sama berulang,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata selain faktor jalan lama, kepadatan trafik yang tinggi dan kenderaan berat; jalan rosak dan berlubang yang berlaku berulang-ulang disebabkan kurang pengawasan daripada pihak bertanggungjawab.

Selain itu, Ahmad Kamil menggesa supaya pihak utiliti seperti pengurusan air dapat melakukan penilaian risiko lebih awal di kawasan paip lama yang perlu diganti sebelum berlakunya kejadian kebocoran yang akan menjejaskan struktur keadaan jalan.

“Ada jalan berlubang berpunca daripada air bertakung dan mengalir di tanah dasar turapan yang melembutkan turapan itu. Meskipun proses turapan tar menggunakan bahan berkualiti, tetapi jika ada punca lain yang tidak diatasi, kerosakan jalan tetap akan berlaku,” katanya.

Sependapat dengan cadangan itu Profesor Pengangkutan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata banyak pihak yang berkuasa ke atas sesuatu jalan dan tiada tanda yang jelas pemilikan jalan antara punca penyelenggaraan jalan tidak dapat diselesaikan secara efektif.

Beliau berkata penandaan bagi milik jalan hanya ada di lebuh raya namun kebanyakan jalan lain ia tidak jelas dan mengelirukan pihak mana sepatutnya dipertanggungjawabkan.

“Sistem aduan hotline bersepadu boleh digunakan dengan turut memaparkan maklumat pemilik jalan seperti dalam aplikasi Waze. Dengan langkah mendedahkan identiti tuan punya jalan, sikap akauntabiliti kepada pihak yang berkenaan dapat ditekankan,” katanya.

Sementara itu, JKR dalam satu kenyataan kepada Bernama memberitahu selain kempen ‘Aku Janji Zero Pothole’, pihaknya akan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu untuk semua utiliti bagi mencapai kaedah mitigasi lebih menyeluruh bagi membaiki struktur yang rosak disebabkan kerja utiliti di sepanjang jalan di bawah seliaan jabatan itu.

JKR turut memaklumkan pihaknya sedang berkolaborasi dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membangunkan sistem ‘weight-in-motion’ (WiM) bagi merakam dan mengesan kenderaan yang membawa beban gandar yang berlebihan semasa melalui lokasi pengukuran tersebut.

“Sistem berkenaan dapat membantu, JKR dan JPJ memperoleh data berkaitan kenderaan lebih had muatan yang boleh memberi kesan terhadap jalan di bawah seliaannya,” menurut kenyataan itu.

Mengenai spesifikasi turapan untuk sesuatu jalan, JKR memaklumkan ia dilaksanakan berdasarkan kepada Standard Specification For Road Works Section 4: Flexible Pavement iaitu yang terkini dan selari dengan piawaian antarabangsa seperti  AASHTO, Australian Standard dan British Standard yang disesuaikan dengan persekitaran tempatan.

Dalam pada itu, Pengasas Ikatan Silaturahim Lando Brotherhood Azlan Sani Zawawi yang telah melakukan aktiviti sukarela tampalan jalan sejak 2007 berkata PBT digesa menggunakan turapan sementara jenis cold mix yang berkualiti tinggi bagi membaiki fizikal jalan raya rosak termasuk yang berlubang.

Azlan Sani berkata penggunaan bahan turapan yang mengandungi bitumen tinggi itu lebih praktikal berbanding jenis hot mix yang lazimnya digunakan bagi kerja pembaikan jalan dan mengambil masa lama.

“Pada umumnya, kaedah hot mix dilakukan dengan membaiki jalan yang rosak termasuk berlubang akan mengambil masa kerana memerlukan jentera berat bagi memotong jalan tersebut sebelum jalan itu dibersih dan diturap dengan tar yang baharu.

“Namun, dengan kaedah cold mix jalan yang berlubang dapat dibaiki dengan cepat menggunakan hand compactor selain hanya kos yang rendah diperlukan bergantung kepada tahap kerosakan jalan tersebut,” katanya. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS