Berita

Wisma Putra nasihat rakyat Malaysia tunda perjalanan ke Yaman

- Diterbit 12 Januari 2024 7:05 PM MYT

RAKYAT Malaysia dinasihatkan supaya menunda sebarang perjalanan yang tidak penting ke Yaman.

Wisma Putra berkata demikian dalam satu kenyataan pada Jumaat yang dikeluarkan susulan serangan udara yang diketuai oleh tentera Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya United Kingdom (UK) pada Khamis menyasarkan kawasan-kawasan dikuasai Houthi di negara itu.

Kenyataan itu juga menyebut rakyat Malaysia yang menetap di Yaman yang kebanyakannya adalah pelajar, berada dalam keadaan selamat dan jauh dari kawasan konflik.

Rakyat Malaysia di Yaman digesa supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa oleh pihak berkuasa tempatan.

Wisma Putra, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, akan terus memantau dengan teliti perkembangan terkini di Yaman.

Untuk sebarang bantuan, Kedutaan Besar Malaysia di Muscat boleh dihubungi di butiran berikut: Kedutaan Besar Malaysia di Muscat Alamat: Villa No. 2443, Way 3030 Shatti Al Qurum P.O. Box 51, Bareeq Alshati Muscat Nombor Telefon: + 968) 2469 8329 + (968) 7159 2388 Emel: [email protected]

Menurut laporan media antarabangsa, AS dan UK melakukan serangan dari udara di beberapa kubu Houthi sebagai tindakbalas terhadap kumpulan itu yang menyerang kapal-kapal dagang antarabangsa di Laut Merah. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas