WILAYAH Persekutuan (WiPers) giat memperkemas persiapan kontinjen negeri itu bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 Sarawak 2024 yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.
Menurut Pengarah MSWP, Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh, setakat ini persiapan kesemua atlet WiPers berjalan dengan baik di bawah pengurusan pihaknya.
“Berbaki kurang dari 100 hari sebelum SUKMA 2024 membuka tirai, bagi saya, tempoh ini adalah crucial time untuk semua atlet melipatgandakan usaha dalam memastikan semua perancangan yang sudah diatur berjalan dengan lancar.
“Oleh kerana tempoh masa sudah agak singkat, saya menuntut komitmen dan kerjasama penuh semua jurulatih sukan untuk memastikan setiap atlet bertanding di SUKMA akan melakukan yang terbaik dalam memastikan pencapaian lebih baik bagi kontinjen WiPers pada kali ini.
“Saya yakin ramai yang sudah berpengalaman turut serta pada temasya edisi terdahulu, namun kita harus ingat pada mereka yang bakal berdepan dengan SUKMA buat pertama kali. Justeru itu, saya mahukan semua kakitangan dan pegawai untuk sentiasa tanamkan semangat berpasukan walau dalam apa jua masalah atau cabaran yang mungkin timbul apabila berlangsungnya SUKMA nanti,” katanya semasa Kempen Semarak SUKMA Wilayah Persekutuan 2024.
Dalam masa sama, beliau berkata tugas sebagai seorang jurulatih adalah berat namun kejayaan turun naik seseorang atlet itu banyak dipengaruhi oleh kekuatan jurulatih dalam mencorakkan atlet masing-masing.
“Selain tugas utama merancang program latihan hingga mencapai ke tahap prestasi terunggul, jurulatih juga perlu memantau perkembangan prestasi atlet, mengenal pasti kelemahan dan kekuatan yang ada serta memberi sokongan moral kepada atlet selain ditambah dengan kerja-kerja pentadbiran yang perlu dilakukan.
“Pihak MSWP amat menghargai segala jasa bakti dicurahkan jurulatih dalam mencuba yang terbaik untuk membantu memenuhi keperluan mereka bagi memastikan Program Pembangunan Sukan berprestasi tinggi secara menyeluruh dan sistematik dapat dijalankan bagi kecemerlangan sukan di Wilayah Persekutuan.
“Selari dengan keputusan Ahli Majlis MSWP sebelum ini yang mahukan hanya sukan yang berada di landasan terbaik dihantar ke Sarawak, saya mahu mengingatkan jurulatih untuk memberikan yang terbaik dalam memastikan atlet WiPers mencipta kejayaan lebih baik berbanding sebelumnya,” ujar beliau.
Nik Ahmad Zahiruddin juga berharap semua jurulatih yang dilantik untuk bersama-sama berganding bahu bagi memastikan semua perancangan berjalan lancar dan mencipta kejayaan lebih cemerlang pada SUKMA akan datang.
“Insya-Allah dengan perancangan yang rapi, usaha keras dan semangat sepasukan yang tinggi, saya yakin kejayaan itu pasti akan tiba.
“Di samping itu, saya juga berharap semua daripada kita untuk menjaga kesihatan dengan baik dalam tempoh masa kurang dari 100 hari ini bagi memastikan kelancaran kerja dan perancangan yang sudah dibuat lebih awal,” ujar beliau.
Sebagai rekod, kontinjen WiPers menduduki tempat ketiga keseluruhan pada SUKMA XX MSN yang diadakan pada tahun lepas dengan pencapaian 55 pingat emas, 69 perak dan 65 gangsa. INJEN WiPers tekad cipta kejayaan di SUKMA 2024. – WILAYAHKU