Berita

Wilayahku terima anugerah pelancongan

ZAIZALNIZAM (dua dari kanan) menerima Anugerah Tourism Recovery Champion Award 2022 di atas usaha mempromosikan dan menggalakkan pelancongan domestik pada Isnin. ZAIZALNIZAM (dua dari kanan) menerima anugerah Tourism Recovery Champion
- Diterbit 25 Mac 2022 3:38 AM MYT

AKHBAR Wilayahku, anak syarikat milik penuh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) memenangi Anugerah Tourism Recovery Champion Award bagi katergori Media dan Perhubungan Awam di atas usaha mempromosikan tempat-tempat pelancongan ketika negara berada di dalam pandemik COVID-19.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun, anugerah tersebut merupakan kejayaan di atas usaha bersepadu dari semua pasukan editorial untuk mempromosikan industri pelancongan yang terjejas.

“Sumbangan kita adalah untuk membantu hebahan kepada orang awam serta menggalakkan pelancongan domestik dan membantu mencerdaskan sektor ekonomi yang sebelum ini terjejas disebabkan pandemik COVID-19,” katanya kepada Wilayahku selepas Majlis Penyampaian Tourism Recovery Champion Award 2022 di Asia e Universiti pada Isnin.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Asia e Universiti, Prof Datuk Dr Ansary Ahmad dan turut dihadiri Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), Uzaidi Udanis.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Arifin Abdul Majeed dan Pengurus Besar Akhbar Wilayahku, Azlan Abdul Aziz.

Menjelas lanjut, Zaizalnizam berkata, peranan yang dimainkan oleh akhbar Wilayahku berkesan dan ia diterima semua pihak termasuk pembaca serta pemain industri.

“Dengan anugerah ini membuktikan ia diterima di peringkat pemain industri dan pembaca. Ini bermaksud, Wilayahku diterima semua pihak.

“Ini membuktikan pelaporan berita sangat berkesan dan mempunyai impak dalam memberikan maklumat dan hebahan yang tepat,” katanya.

Menurut Zaizalnizam, meskipun akhbar Wilayahku merupakan platform untuk menyampaikan maklumat, ia turut memberikan ruang kepada pemain industri, peniaga kecil dan semua pihak berkepentingan untuk memperolehi manfaat daripadanya.

“Ia terutama untuk mempromosi barangan, memperkenalkan produk, dan juga memberikan ruang kepada semua pihak untuk mengenengahkan sesuatu perkara atau perniagaan kepada orang ramai.

“Akhbar Wilayahku ini wajar untuk diperluaskan supaya ia diterima di seluruh negara,” katanya.

Ujarnya, peranan yang dimainkan akhbar Wilayahku perlu diperluaskan dan ia menunjukkan kebersamaan dengan masyarakat di Wilayah Persekutuan, pemain industri dan pembaca.

“Akhbar Wilayahku ini menunjukkan wajah sebenar kehidupan rakyat dan sosioekonomi di Wilayah Persekutuan. Jenama Wilayahku ini telah berjaya menembusi pemikiran pembaca dan pemain industri.

“Ia juga telah berjaya membentuk sense of belonging dalam kalangan pembaca dan kita turut menyediakan ruang dan juga nilai yang baik untuk semua pihak,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas