Berita

Wilayah Persekutuan sedia pastikan kelancaran ASEAN 2025

- Diterbit 13 Oktober 2024 11:27 PM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata Wilayah Persekutuan menzahirkan kesediaan untuk memainkan peranan dalam memastikan kelancaran Tahun Kepengerusian ASEAN 2025.

Beliau berkata demikian selepas Malaysia hari ini mengambil alih tugas sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dari Laos.

“Majlis semalam di Vientiane, Lao PDR menandakan tamatnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 yang dipengerusikan oleh Lao PDR,” katanya di Facebook.

Upacara simbolik serahan tugas dibuat Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC).

Menerusi ucapannya, Anwar berkata Malaysia memilih tema Keterangkuman dan Kemampanan yang mencerminkan komitmen dalam mencapai kemajuan yang dikongsi bersama.

Malaysia turut memperkenalkan logo ASEAN Malaysia 2025 buat pertama kalinya.

Logo berkenaan memaparkan lambang ASEAN dalam kitaran berbentuk bunga raya, dengan warna yang mewakili warna utama bendera semua negara anggota ASEAN.

Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sepanjang sejarah keanggotaan dalam blok serantau itu, iaitu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas