Berita

Wilayah Persekutuan kita

- Diterbit 31 Januari 2025 11:55 AM MYT

MELEPASI tempoh satu tahun dua bulan berkhidmat di Wilayah Persekutuan, ia telah memberikan perspektif berbeza buat figura ini, DR ZALIHA MUSTAFA selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) sejak Disember 2023.

Zaliha melihat ketiga-tiga Wilayah Persekutuan (WP) – Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mempunyai potensi untuk dimajukan seiring aspirasi Kerajaan MADANI menerusi generasi baharu sekali gus membangunkan nilai manusiawi di Wilayah Persekutuan.

Menerusi pendekatan pembangunan di bawah konsep Whole of Nation selari dengan kerangka C.H.A.S.E City, Zaliha berkongsi aspirasi kepada Wartawan Kanan, AZLAN ZAMBRY betapa beliau optimis bahawa perubahan minda rakyat serta pembangunan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan perlu dimulakan sekali gus dapat menyediakan masyarakat yang lebih berilmu dan bertanggungjawab sebagai sebahagian daripada masyarakat yang lebih bertamadun di pejabatnya baru-baru ini.

——-

Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2025, apakah program yang dirancang?

Hari Wilayah pada tahun ini 51 tahun, jadi untuk sambutan tahun ini ia tidaklah seperti tahun lepas iaitu 50 tahun dan ia agak istimewa. Jadi kita ada program yang telah dirancangkan untuk sepanjang Febuari ini melibatkan lebih 60 program bagi ketiga-tiga WP.

Kita mulakan dengan Kempen Kibar Bendera WP di Pavilion bersempena Program Bersih Semua Tempat (BeST). Jika anda tanyakan berkenaan perancangan tahun 2025 ini, bagi WP, kita baru selesai pemukiman pengurusan tertinggi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP). Saya minta setiap agensi melihat apakah pencapaian mereka atas KPI yang ditetapkan pada tahun 2024. Dan kemudian melihat juga apakah cabaran jika ada yang tidak capai dan tahun 2025 apakah perancangan dan keutamaan yang hendak diberi berdasar penetapan KPI. Jadi inilah perkara yang dibincangkan semasa pemukiman dan bagi saya pencapaian itu agak membanggakan.

Berbanding pentadbiran lalu, YB memperuntukkan setiap bulan untuk melakukan lawatan kerja ke Labuan, apakah fokus YB terhadap pulau itu dari aspek pembangunan?

Labuan yang dahulunya seolah-olah disisihkan, tetapi untuk tempoh setahun selepas saya ambil alih, saya nampak ada banyak perubahan walaupun ia mungkin bukan suatu yang besar seperti pelaburan.

Namun ada perkara yang saya rasa membantu khususnya dalam aspek sosioekonomi rakyatnya. Saya nampaklah beberapa perkara, contohnya tentang masalah ketersalinghubungan (connectivity) yang sebelum ini diumpamakan masalah chicken and egg. Tetapi alhamdulillah, sudah ada syarikat-syarikat yang menambah jumlah penerbangan ke Labuan. Ini adalah satu pencapaian bagi saya.

Selain itu‚ connectivity lain adalah feri kerana Labuan ini pulau dan untuk menghubungkannya mestilah melalui feri dan ia mesti dihubungkan dengan Sabah, Sarawak dan Brunei. Ramai yang berulang-alik dari Kota Kinabalu ke Labuan kerana antara mereka bekerja dalam bidang minyak dan gas. Kita hendak mempermudahkan lagi, hendak meningkatkan produktiviti kerana masa yang dihabiskan untuk perjalanan itu agak lama. Katalah ada yang menetap di Kota Kinabalu, harus ke Menumbok dengan perjalanan selama 1 jam 30 minit hingga 2 jam. Dan dari Menumbok menaiki feri ke Labuan melibatkan 1 jam 30 minit juga. Itu saja hampir 3 ke 4 jam. Itu perjalanan sehala dan ulang-alik turut melibatkan jumlah masa yang sama.

Perancangan Jambatan Labuan – Sabah itu kita tetap akan teruskan dan ia mengambil masa lama. Sekarang ia masih di dalam peringkat kajian kebolehlaksanaan dan kita telah diperuntukkan RM3 juta untuk melaksanakan kerja-kerja awal. Hasil kajian ini kita akan dapati daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang bertanggungjawab terhadap projek tersebut.

Ada beberapa kajian sebelum ini yang kita telah dengar ada yang kata RM4 bilion, ada kata RM7 bilion, malah jajaran juga berbeza sebab ada yang katanya 12 kilometer (km), ada juga 8km. Ada juga yang cadang supaya pembinaannya menghubungkan Menumbok ke Pulau Dalat yang kemudian boleh dibangunkan sebagai produk pelancongan dan terus ke Labuan. Ada beberapa pilihan mengenainya dan Task Force Jambatan Labuan – Sabah itu masih bekerja untuk mengkaji rancangan Permintaan Untuk Cadangan
(RFP) dan ada juga syarikat kata sanggup tetapi hendak dapatkan pulangan tertentu. Model perniagaannya masih belum dibincangkan, namun akhirnya ia bergantung kepada kerajaan dan ia akan membawa limpahan ekonomi kerana ia adalah game changer untuk Labuan.

Bagaimana isu bekalan elektrik dan air bersih di Labuan?

Banyak perancangan untuk Labuan, tetapi masalah asas iaitu elektrik dan air mesti diselesaikan terlebih dahulu. Insya-Allah saya yakin masalah bekalan elektrik ini akan selesai menjelang tahun 2028, tetapi air masih lagi dalam perancangan.

Saya sudah maklumkan kepada Perdana Menteri, kita melihat juga aspek penghasilan air kerana sekarang kita bergantung kepada Sabah dan ia melalui paip bawah tanah dan banyak Non-Revenue Water (NRW) adalah istilah yang merujuk kepada bekalan air terawat yang tidak sampai kepada pengguna berikutan paip pecah dan jika di dasar laut, ia lagi sukar kerana pam pun sudah lama. Pengumuman PM berkenaan peruntukan RM300 juta itu digunakan. Dengan selesai masalah asas ini nanti, saya lebih yakin untuk memanggil pelabur luar ke Labuan. Setakat ini, kita lihat aspek komersial dahulu, yang kecil-kecilan dan gunakan kapasiti Labuan sebagai pulau
bebas cukai.

Kuala Lumpur menghadapi masalah perubahan iklim menyebabkan isu banjir kilat yang seolah-olah tiada penyelesaian, apakah perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah tersebut?

Insya-Allah tahun 2025 ini, kita ada keutamaan contohnya pembangunan, sektor sosioekonomi dan setiap agensi sudah berikan kepada saya tetapi belum susun lagi. Tetapi secara umumnya kalau dari sudut pembangunan mungkin kita sekarang ini boleh tengok satu konsep yang menggabungkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Seperti di Kuala Lumpur, apabila hujan sahaja akan menyebabkan banjir kilat. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga sudah melakukan banyak persediaan, namun hujan yang disebabkan perubahan iklim ini, kadangkala kapasiti taburan air hujan ini terlalu tinggi menyebabkan banjir kilat.

Dalam sudut pembangunan ini, kita akan tengok yang itu dan kita akan juga anjurkan pembangunan semula adalah antara kaedah terbaik berbanding pembangunan baharu walaupun kita perlu, namun kawasan contohnya flat-flat lama dan bukan hanya residensi sahaja, kita kena tengok juga kepada kemudahan lain seperti pasar di Keramat, Pasar Pudu, Pasar Selayang dan yang itu kita kena beri keutamaan. Walaupun projek tersebut tidak dimulakan pada tahun 2025, tetapi ia dimasukkan di dalam perancangan.

Untuk mitigasi banjir ini, kita ada pelan untuk Kuala Lumpur dan berikutan perubahan iklim ini, kita menghadapi cabaran baharu dan kita tengok ada kawasan-kawasan baharu yang sebelum ini tidak pernah banjir, tetapi ia dinaiki air. Jadi kita kenal pasti seperti banjir pada 15 Oktober 2024, kita dapati ada 16 kawasan hot spot baharu yang tidak pernah banjir sebelum ini. Saya telah berbincang dengan Datuk Bandar apa yang boleh kita laksanakan ialah untuk pembangunan baharu kita akan wajibkan sekali membina cadangan mitigasi banjir. Contohnya kita boleh menerima pakai polisi Bioswale Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu landskap yang boleh menampung air hujan. Kapasitinya tidak besar dan On Site Detention (OSD) yang boleh membantu menampung air pada masa hadapan.

YB memperkenalkan konsep C.H.A.S.E City, bagaimana kaedah itu boleh membantu menangani isu tersebut?

Menerusi C.H.A.S.E City, misi utama kita adalah mesra alam, jadi saya bincang tempoh hari, contohnya OSD ini sudah ada air di dalamnya, saya minta supaya Datuk Bandar fikirkan cara untuk kita guna semula air itu. Oleh kerana ia tidak dirawat, dengan kaedah mengepam air itu masuk ke dalam lori tangki milik DBKL dan ia boleh digunakan untuk menyiram tanaman dan landskap.

Pada tahun hadapan, kita gunakan kaedah baharu itu, kita cuba juga untuk kawasan hijau dan sebenarnya untuk menjaga dan memelihara kawasan hijau ini tidak murah dan kos agak tinggi. Jadi kita minta supaya komuniti dilibatkan khususnya landskap di hadapan bangunan dan kita buat sistem usaha sama melibatkan komuniti supaya mereka boleh berperanan untuk menjaga landskap. Sebabnya kadangkala ada yang buang sampah di kawasan seperti itu dan akhirnya kita yang kena kutip dan bersihkan. Kalau mereka jaga keindahan kawasan itu atas tanggungjawab mereka, tetapi kita akan beri insentif yang lain contohnya pengurangan cukai atau apa-apa yang berkaitan serta gunakan duit itu untuk bantu DBKL dengan memastikan keindahan dan kebersihan terus dipelihara.

Jepun sudah mulakan inisiatif seumpama itu, bahkan banyak program yang telah dibuat dan kita boleh belajar daripada mereka. Tahun lalu saya melawat Shanghai, China dan mereka ada teknologi mitigasi banjir yang menggunakan konsep sponge city seperti kaedah bioswale, OSD dan sebagainya. Dan mereka juga ada kawasan hijau yang bukan sahaja cantik dan indah, bahkan mereka ada pokok-pokok yang boleh membantu untuk mengekalkan air. Insya-Allah, kita buat perkongsian strategik menerusi inisiatif Sister’s City dan kita sudah mula dan ketika kunjungan itu, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj)‚ Datuk Fadlun Mak Ujud dan pihak DBKL turut sama. Kita akan melatih pegawai kita dan hantar untuk belajar dengan kerjasama Shanghai Municipal Council.

Ada persatuan peniaga yang mengkritik YB berikutan cadangan supaya DBKL mengurus sendiri lesen dan tapak bazar Ramadan di Kuala Lumpur, apa pandangan YB berkenaan perkara itu?

Saya suka mengambil cabaran. Bagi saya apabila ada bunyi-bunyi di luar kita perlu ambil yang positif dan meninggalkan kata-kata negatif. Saya tidak bercakap banyak pasal perkara itu, kerana isunya adalah peniaga bazar Deepavali di Brickfields. Masalahnya adalah persatuan memberikan tapak melebihi daripada apa yang DBKL benarkan dan saya mempersoalkan mengapa mereka buat begitu kerana ia menimbulkan kacau ganggu melibatkan isu parkir, lalu lintas dan keselesaan orang ramai. Jadi saya ambil keputusan untuk tidak akan memberikan lesen kepada persatuan sebaliknya kita berikan terus kepada peniaga.

Sebenarnya pada awal tahun 2024, kerajaan telah membuat keputusan yang sama untuk bazar Ramadan dan ia disambut oleh PPj dan Perbadanan Labuan (PL) yang memberikan lesen perniagaan terus kepada peniaga. Tetapi kenapa Kuala Lumpur tidak dapat buat dan kita tidak salahkan DBKL kerana ia mungkin melibatkan kawasan yang besar. Kemudian DBKL kata, kita ada masalah dari sudut tenaga kerja, petugas tidak ramai untuk menjaga sehingga lebih 6,000 tapak.

Tetapi apabila saya sebutkan mengenai isu di Brickfields itu, persatuan yang biasa mengendalikan bazar marahlah. Tetapi bagi saya sepatutnya mereka tidak perlu marah saya, cabar saya, cabar DBKL. Kita adalah pihak berkuasa dan kerajaan. Kita ada kapasiti untuk mengendalikan apa jua perkara walau apa pun yang mereka katakan dan selesaikan masalah dengan hanya memberikan arahan sahaja.

Jadi misalnya pada tahun ini selepas kita laksanakan dan alhamdulillah saya juga sudah tengok dan dengar sendiri pembentangan daripada bahagian yang bertanggungjawab, termasuk Datuk Bandar sendiri dan kita boleh selesaikan. Kita juga bekerjasama dengan pihak korporat seperti Bank Muamalat dan ia kaedah yang baik kerana nilai inklusif dari aspek itu malah peniaga juga mendapat kemudahan tajaan payung niaga. Sehingga ia berjaya dilaksanakan, baru saya boleh kata bahawa saya berpuas hati atau tidak, kerana kita belum pun menempuhi bulan Ramadan lagi. Risau itu ada juga, tetapi saya akan terus memantau perkembangannya dan insya-Allah ia berjaya.

Apakah matlamat utama YB sepanjang tempoh menerajui WP yang rencam serta mempunyai 1,001 masalah?

Saya sering melihat banyak perkara yang perlu diatasi, contohnya isu kebersihan, itu adalah mindset. Tadi kita sebut pasal tidak bayar sewa, ini juga disebabkan sikap dan mindset orang kita. Saya nampak perkara ini, untuk mengubah sesuatu masyarakat itu kita perlu mengambil masa yang agak lama, bukan sebulan dua atau setahun dua.

Saya berpandangan, untuk mengubah situasi ini ia mesti bermula daripada generasi. Kita perlu bentuk generasi kerana yang sekarang ini macam itu. Hendak ubah itu bukan mudah, tetapi boleh dengan generasi. Saya nampak, walaupun ia tidak boleh katakan sebagai penyelesaian tuntas, one-off adalah dengan mendidik anak-anak ini dan ia bermula dari kecil iaitu ketika di prasekolah dan sekolah rendah. Macam mana orang Jepun yang bukan Islam itu boleh membentuk rakyat mereka, bagaimana Finland itu boleh membentuk masyarakatnya itu sehingga boleh menjadi negara yang maju dan bertamadun, kerana mereka mendidik anak-anak mereka dengan cara yang sebetulnya.

Banyak saya nampak, saya tak nak kata pasal siapa, macam zaman saya dahulu belajar, kita ini semua berorientasikan peperiksaan. Mungkin KPM perlu lihat semula, saya rasa kita kena lari daripada kaedah itu. Sebab itu apa yang Perdana Menteri buat untuk mengurangkan mentaliti subsidi, ia sebenarnya bagus dan ia perlu bermula walaupun hendak buat pada ketika ini orang marah kerana ramai yang sudah biasa.

YB sudah menerajui portfolio WP sudah satu tahun dua bulan, sudah pasti banyak perkara yang menjadi agenda YB, apakah fokus YB sebelum tempoh penggal ini tamat?

Apabila bertukar portfolio dari Kementerian Kesihatan (KKM) ke WP, memang ia berbeza dan banyak urusan dengan komuniti walaupun ada juga sewaktu di KKM tetapi ia melibatkan dasar. Di WP ini juga ada dasar, tetapi ia lebih mendekat dengan rakyat.

Setahun dua bulan ini, saya rasa belum berpuas hati sepenuhnya. Kita sudah dengar bahawa ada perubahan-perubahan berbanding pentadbiran terdahulu iaitu sebelum Kerajaan MADANI. Macam contoh isu peniaga bazar yang kita selesaikan walaupun banyak lagi isu legasi, tetapi bagi saya banyak lagi hendak buat, there more room to
improve.

Saya rasa kalau tempoh masa dua tahun setengah ini tidak cukup. Sebab bagi saya, dalam mana-mana kerajaan pun, penggal pertama adalah merancang dan penggal kedua untuk melaksanakan. Tetapi untuk tempoh lima tahun ini, yang mana mudah itu kita buat dahulu. Secara jujurnya, saya terus mencari ruang untuk memperbaiki, bagi saya untuk berpuas hati itu belum sampai lagi. Saya rasa ada banyak lagi perkara untuk dilakukan walaupun ada yang kata bagus itu, saya bersyukur dan itu yang kita mahukan.

Bagi saya, Kuala Lumpur yang menjangkau usia 120 tahun ini, banyak isu legasi yang perlu diberikan perhatian. Macam Putrajaya masih baik kerana ia bandar terancang, masalah utiliti itu agak kurang tetapi kita tidak nafikan masih ada. Labuan pula bagi saya virgin island dan masih boleh merancang untuk perubahan dan ia boleh menjadi bandar pintar terbaik menerusi perancangan yang bagus, cumanya perlu selesaikan masalah utiliti. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas