Berita

WhatsApp, Telegram perlu lebih bertanggungjawab tangani jenayah dalam talian – Fahmi

- Diterbit 23 Julai 2024 4:47 PM MYT

PENGENDALI aplikasi komunikasi Telegram dan WhatsApp perlu lebih bertanggungjawab dalam memastikan tiada sebarang salah laku jenayah bebas dilakukan di dalam platform berkenaan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata berdasarkan maklumat yang diterima daripada Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak D11 Bukit Aman mendapati, platform WhatsApp banyak disalahgunakan bagi tujuan pengantunan seksual.

“Platform Telegram pula kita dah dapat banyak aduan termasuk daripada bekas menteri, menteri sedia ada, ramai dapat mesej dan berdepan ancaman scammer.

“Telegram juga agak bermasalah kerana ada melibatkan salah guna akaun untuk tujuan pornografi, jualan bahan terlarang seperti dadah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Sekolah Digital U Mobile di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile Wong Heang Tuck.

Fahmi berkata isu-isu melibatkan dua platform berkenaan sudah di dalam penelitian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan tindakan wajar akan diambil bagi memastikan aplikasi berkenaan serta keseluruhan media sosial selamat untuk digunakan komuniti.

Beliau berkata walaupun dua generasi itu, yang merujuk kepada golongan yang dilahirkan antara 1997 hingga 2010 dan 2011 hingga 2026, dianggap sebagai individu yang sangat biasa dengan teknologi digital, namun namun mereka masih perlu didedahkan dengan cabaran teknologi dalam semua aspek kehidupan, termasuk kesihatan, perniagaan, dan komunikasi.

“Perlu ada perubahan dalam kalangan pendidik dan pelajar sendiri, bersedia mencabar diri, mencuba teknologi baharu tetapi pada masa sama, memahami batas-batas yang ada dari segi undang-undang, tatasusila, dan waspada dalam menggunakan teknologi,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas