Berita

Westlite rancang kembangkan kemudahan penginapan PBWA

- Diterbit 13 September 2022 2:00 PM MYT

WESTLITE Accommodation Malaysia (Westlite) merancang untuk mengembangkan kemudahan penginapan Purpose-Built Workers Accommodation (PBWA) dalam negara bagi memenuhi keperluan syarikat multinasional dan ejen sumber manusia yang semakin meningkat untuk pekerja asing.

Ketua Pegawai Eksekutif Centurion Corporation Limited, yang merupakan pemilik Westlite, Kong Chee Min berkata kerjasama dengan objektif untuk berkembang dengan lebih besar dan meluaskan perkhidmatannya di banyak negeri lain di Malaysia, bergantung kepada permintaan tempat penginapan serta faktor ekonomi.

“Kami ingin bekerjasama dengan kerajaan negeri, pemilik hartanah yang mempunyai bangunan, dan pemilik tanah yang ingin melihat kepada penginapan (perkhidmatan) pekerja,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Westlite Accommodation di sini, hari ini.

Pada masa ini portfolio Westlite Malaysia terdiri daripada lapan hartanah Westlite Accommodation yang terletak di Johor, Pulau Pinang dan Selangor dengan jumlah pekerja asing tertinggi dalam sektor pembuatan menyumbang kepada kira-kira 35 peratus daripada anggaran kira-kira dua juta tenaga kerja asing negara.

“Pada 2Q (suku kedua) 2022, kerja-kerja peningkatan aset yang dijalankan di Westlite Tebrau misalnya menambah 688 katil pada portfolio. Dengan lebih banyak majikan termasuk PKS berusaha untuk mematuhi Akta 446, kami menjangkakan untuk melihat pertumbuhan permintaan bagi penginapan pekerja berkualiti tinggi, dibina dengan teliti dan diuruskan secara profesional.

“Ini juga akan memberi manfaat kepada ejen sumber manusia yang kini perlu memastikan bahawa mereka menempatkan pekerja asing yang mereka bawa masuk ke Malaysia secukupnya,” kata Kong dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Westlite.

Sementara itu Timbalan Ketua, Ketua Kemudahan Penginapan Pekerja, Malaysia, Alfred Lee berkata terdapat dua jenis penginapan ditawarkan iaitu penginapan jenis asrama dan penginapan bukan asrama (pangsapuri) dengan kadar bayaran RM180 hingga RM250 sebulan.

Alfred berkata bilangan penghuni di rumah bergantung kepada saiz asrama dan pangsapuri.

Sementara itu Ketua Komunikasi Korporat Centurion Corporation Limited, David Phey berkata sehingga 30 Jun, syarikat itu menguruskan portfolio 25,099 katil merentasi lapan aset PBWA di Malaysia dan 33,898 katil merentasi sembilan aset PBWA yang beroperasi di Singapura.

Beliau berkata Westlite memberi perkhidmatan kepada organisasi daripada industri yang pelbagai, dan memiliki lebih 1,490 pelanggan di kedua-dua negara dalam bidang pembinaan, minyak dan gas, pembuatan, marin, kejuruteraan, komersial dan perkhidmatan.

Westlite ialah syarikat multi-nasional berpangkalan di Singapura yang menguruskan penginapan pekerja, dan memiliki hartanah di Johor, Selangor, Pulau Pinang dan Singapura. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas