BEKAS wartawan, Fauziah Rauf, 81, meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira pada 1 pagi Ahad.
Anak bongsu Allahyarham, Firhat Yasir Omar Sudi ketika ditemui dikediamannya di Bandar Baru Selayang di sini berkata ibunya meninggal dunia akibat pendarahan di kepala.
Beliau berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Selayang Baru untuk dimandi dan dikafankan serta solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baru selepas solat zohor.
Fauziah yang juga Pengasas Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) merupakan penerima Tabung Kasih@Hawana pada 2023.
Allahyarham juga pernah menerima Anugerah Tokoh Wartawan Hiburan sempena Majlis Anugerah Kewartawanan Industri Perfileman Malaysia (AKIFMA) anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dan FINAS pada 2017.
Selain berpengalaman lebih 20 tahun sebagai wartawan di Utusan Malaysia, Allahyarham turut menjadi perintis dan wanita pertama di negara ini yang menerbitkan akhbar seperti Mingguan Famili, Pentas Dunia dan majalah Hawa sekitar 80-an. – WILAYAHKU