Berita

Waris mangsa nahas bas Gerik terima bantuan tambahan RM10,000 – PM Anwar

- Diterbit 11 Jun 2025 8:00 PM MYT

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan tambahan sebanyak RM10,000 kepada waris mangsa yang terkorban dalam nahas bas ekspres melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak kelmarin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan bahawa mangsa yang cedera pula akan menerima bantuan berjumlah RM5,000 sebagai sokongan segera kepada mereka yang terkesan dalam tragedi berkenaan.

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah bersetuju untuk menyalurkan bantuan tambahan kepada waris mangsa yang terkorban serta kepada mangsa yang cedera dalam tragedi ini,” kata beliau menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, bantuan ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meringankan beban keluarga mangsa yang sedang berhadapan dengan dugaan berat susulan kejadian yang menyayat hati itu.

“Saya mendoakan agar semua ahli keluarga dan mangsa diberi kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi detik yang amat mencabar ini,” katanya lagi.

Dalam kejadian awal pagi 9 Jun lalu, sebuah bas membawa 40 pelajar UPSI yang dalam perjalanan pulang ke Tanjung Malim selepas cuti Hari Raya Aidil Adha terbabas dan terbalik di Jalan Raya Timur–Barat berhampiran Task Banding, Gerik. Seramai 15 orang maut, manakala selebihnya mengalami kecederaan termasuk tujuh kritikal.

Tragedi ini turut mencetuskan reaksi pelbagai pihak termasuk Kementerian Pengajian Tinggi dan PTPTN, yang sebelum ini telah mengumumkan pelupusan hutang pinjaman dan pemberian khairat kematian kepada peminjam terlibat.

Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan akan terus memantau situasi serta memastikan semua bantuan disalurkan segera bagi menjamin kebajikan keluarga mangsa dan mereka yang tercedera.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas