Berita

Warga Labuan diseru bersatu bantu barisan hadapan

- Diterbit 16 Jun 2021 5:51 AM MYT

WARGA Labuan diseru untuk bersatu padu membantu para petugas barisan hadapan dalam memerangi penularan COVID-19 di pulau itu.

Menurut Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien, situasi penularan wabak itu di Labuan yang membimbangkan perlu diatasi dengan bantuan serta kerjasama daripada pihak masyarakat dan komuniti.

“Warga Labuan perlu bertindak mengambil pelbagai langkah segera antaranya tidak keluar rumah jika tiada urusan penting dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Berilah kerjasama kepada pihak berkuasa yang bertungkus – lumus berusaha mengekang penularan COVID-19 yang sudah berlegar dalam komuniti kita dan jangan sebarkan maklumat palsu mengenai vaksin COVID-19 kerana itu akan menjejaskan usaha kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok di pulau ini,”katanya semasa dihubungi semalam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan dan pemimpin tempatan atas usaha serta inisiatif menyegerakan program imunisasi kepada penduduk di wilayah itu.

“Saya merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Menteri Sains, Teknologi & Inovasi yang telah menyatakan komitmen serta beberapa tindakan segera dalam mengawal penularan COVID-19 antaranya melaksanakan PKPD bersasar dan pengagihan 30 ribu dos vaksin dalam masa terdekat ini.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin yang ada di Labuan kerana terus menyuarakan pelbagai pandangan serta cadangan dalam usaha melandaikan lekuk COVID-19,”jelasnya.

Beliau turut berharap agar warga Labuan terus bersabar menunggu panggilan temu janji pemberian vaksin COVID-19 selain terus mematuhi sebarang arahan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak 200 kit makanan kepada warga Labuan yang terjejas berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar bermula 15 hingga 28 Jun 2021.

Sumbangan disampaikan oleh wakilnya, Basran Yunus di Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan, pada Isnin lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas