Berita

Warga ATM bakal terima vaksinasi pandu lalu – Ismail Sabri

MENTERI Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) memberikan cadangan kepada petugas kesihatan tentera untuk memudahkan urusan suntikan vaksin secara pandu lalu ketika beliau melihat simulasi perkhidmatan proses vaksinasi secara pandu lalu yang bakal disediakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan hari ini. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 3 Jun 2021 7:04 AM MYT

KEM Perdana Sungai Besi di sini dipilih sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu untuk warga tentera dan keluarga mereka menerusi projek rintis yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Selepas selesai pemberian vaksin kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga mereka maka barulah akan dibuka kepada orang awam manakala tempat pemberian vaksin itu pula akan diumumkan kemudian.

“Konsep ini akan lebih mudah, selamat dan akan mencepatkan lagi proses pemberian vaksin dan  akan dapat mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan rakyat dengan lebih berkesan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri pelancaran pembinaan Hospital Modular COVID-19 ATM di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini hari ini.

Mengenai Hospital Modular COVID-19 ATM, Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), berkata hospital itu yang akan dibina berkonsepkan  pre-fabricated modules, dijadualkan siap dalam tempoh tiga bulan, memuatkan 64 katil termasuk 16 untuk unit rawatan rapi.

Mengulas isu 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional baru-baru ini, Ismail berkata berkata isu itu telah diselesaikan oleh pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad pada Selasa dilapor berkata penerbangan 16  pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara di Sarawak pada 11.53 pagi dan hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, pesawat itu dikenalpasti adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20, yang merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas