TAKTIK licik peniaga warga asing yang menyelinap masuk ke Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) menggunakan kenderaan peniaga tempatan dikesan Penguat Kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu operasi pada Jumaat.
Dalam hantarannya di laman Facebook DBKL, pihaknya mendapati masih terdapat segelintir warga asing yang berjaya memasuki kawasan PBKL dengan cara yang licik meskipun kawalan ketat dijalankan dengan mengawal pergerakan masuk dan keluar pintu utama.
“Mereka menyelinap masuk menggunakan kenderaan peniaga tempatan yang berurusan di dalam kawasan PBKL meskipun tahu ini bukan kawasannya untuk berniaga,” katanya hari ini.
DBKL berkata, pihaknya akan menjalankan pemantau laluan pintu masuk dan keluar termauk lorong-lorong tikus yang telah dikenal pasti menjadi laluan kepada warga asing yang berniaga secara haram.
Menurut DBKL, dalam operasi tersebut, tiga gerai yang dikendalikan warga asing di sekitar kawasan PBKL telah disita manakala dua kesalahan diambil tindakan di bawah UUK 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.
Sementara itu, DBKL menegaskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan 24 jam ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan pihaknya turut meminta kerjasama warga kota dalam menyalurkan maklumat berkenaan premis warga asing kepada DBKL secara atas talian di laman https://adukl.dbkl.gov.my. -WILAYAHKU