Berita

Wanita pertama dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyerahkan surat pelantikan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baru di Pejabat Perdana Menteri, 14 Ogos, 2024. - SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: This photos may only be used for editorial reporting purposes for the contemporaneous illustration of events, things or the people in the image or facts mentioned in the caption. Reuse of the pictures may require further permission. MAN
- Diterbit 16 Ogos 2024 9:00 AM MYT

DATUK Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-15 menggantikan Datuk Seri PMgr Sr Kamarulzaman Mat Salleh berkuat kuasa mulai 15 Ogos 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata pelantikan tersebut telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur selaras dengan Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

“Saya percaya dengan pelantikan ini, beliau akan dapat meneruskan kesinambungan pengalaman dan sumbangan beliau untuk memimpin Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan penuh integriti bagi memastikan kemampanan pembangunan, kecemerlangan dan kegemilangan berterusan ke arah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang maju dan sejahtera.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada Datuk Seri PMgr Sr Kamarulzaman Mat Salleh atas segala sumbangan dan kepimpinan beliau sepanjang menjawat jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif yang berusia 63 tahun berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Perancangan Bandar) dari University of Wales Institute of Science and Technology, United Kingdom sebelum melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Sains (Perancangan Bandar) di Universiti Sains Malaysia.

Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Eksekutif United Nations Human Settlement Programme (UN-Habitat) yang berpusat di Nairobi, Kenya selama enam tahun dan merupakan wanita Asia pertama yang memegang jawatan tersebut.

Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai serta pernah menjadi Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA).

Dengan pengalaman selama 39 tahun dalam perancangan bandar (urban planning), penjanaan semula bandar (urban regeneration) dan pembangunan yang diterajui komuniti (community-led development), beliau adalah individu yang bertanggungjawab mengembalikan kedudukan UN-Habitat sebagai peneraju pemikiran dalam perbandaran mampan.

Beliau juga pernah diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Secretary-General’s Task Force on the Future Cities dan Pengerusi Bersama Local 2030 Coalition. Kini, beliau dilantik sebagai Penasihat kepada International Council for Local Environment Initiative (ICLEI).

Beliau telah menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti pengiktirafan sebagai Tokoh Perancang Bandar Malaysia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Ahli Kehormat Royal Town Planner’s Institute, United Kingdom; Felo Kehormat, United Cities of Local Government (UCLG) dan Ambassador of His Majesty King Charles III (King’s Foundation) dalam perbandaran mampan di negara-negara Komanwel.

Beliau juga telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Alam Bina dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas