Berita

Wang Tak Dituntut sebanyak RM12.7 bilion sehingga 31 Januari

- Diterbit 5 Mac 2025 10:00 AM MYT

SEJUMLAH RM12.7 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) direkodkan sehingga 31 Januari 2025, menurut Kementerian Kewangan.

Katanya, bagi membolehkan individu atau waris yang berhak membuat tuntutan, mereka boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi eGUMIS atau hadir ke kaunter Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) di setiap negeri.

“Semakan dan tuntutan boleh dilakukan menerusi portal eGUMIS atau terus ke kaunter JANM yang berdekatan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Menurut MoF, dalam usaha meningkatkan kesedaran rakyat mengenai WTD, kerajaan melalui JANM telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk kempen kesedaran, taklimat dalam talian, dan perluasan perkhidmatan kaunter WTD di seluruh negara.

“Sebanyak 158 reruai dan program kesedaran diadakan sejak 2024 bagi membolehkan orang ramai menyemak status WTD mereka.

“Selain itu, taklimat secara dalam talian turut diadakan kepada agensi kerajaan dan swasta bagi menerangkan kaedah tuntutan,” katanya.

Bagi memudahkan proses, kerajaan telah memperluaskan perkhidmatan kaunter permohonan WTD di 24 JANM negeri dan cawangan serta membuka kaunter di JANM Putrajaya dan UTC Pudu untuk memudahkan orang ramai mengemukakan permohonan.

“Selain itu, hebahan berkala turut dilakukan melalui saluran televisyen nasional bagi memastikan lebih ramai rakyat mengetahui kewujudan WTD dan langkah-langkah untuk menuntutnya.

“Orang ramai digesa untuk segera menyemak sama ada mereka mempunyai wang yang belum dituntut dan mengemukakan permohonan agar tidak terlepas peluang mendapatkan hak mereka,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas