Berita

Wan Ahmad Dahlan dilantik KPPA ke-27

- Diterbit 8 Januari 2024 4:39 PM MYT

KETUA Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) ke-27 berkuat kuasa esok.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan bagi menggantikan Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed yang bersara wajib menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Mohd Zuki, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Wan Ahmad Dahlan sebagai KPPA, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuat kuasa pada 9 Januari 2024.

“Saya yakin dengan pengalaman serta kredibiliti yang dimilikinya, beliau mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan ini bagi menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.

Mohd Zuki berkata, Wan Ahmad Dahlan, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Ilmu Komunikasi (Kepujian) dari Universiti Airlangga, Surabaya, Indonesia dan Ijazah Sarjana Pengajian Strategik dan Pertahanan dari Universiti Malaya.

Beliau yang juga pernah m dilantik Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri telag berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 29 tahun sejak mula menyertainya sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Pengangkutan pada 25 Januari 1995.

“Pelantikan ini berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan serta pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah ICU-JPM.

“Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja, di Istana Negara serta di Jabatan Perkhidmatan Awam,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas