Berita

‘Walaupun hanya seketul batu karang di tengah lautan, pastikan hak kedaulatan negara terpelihara’

Foto: BERNAMA
- Diterbit 3 Februari 2025 12:53 PM MYT

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mahu kerajaan mengambil tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan bagi memastikan hak kedaulatan serta kepentingan negara kekal terpelihara.

Titah Seri Paduka, ia perlu diberikan perhatian utama walaupun ‘hanya seketul batu karang (kedaulatan negara) di tengah lautan’.

“Kerajaan juga perlu bijak dalam mengekalkan hubungan diplomatik dengan semua pihak dan meningkatkan kerjasama strategik dalam menangani isu-isu serantau dan sempadan negara,” titahnya.

Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam Titah Diraja sempena istiadat pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Ke-15 hari ini.

Dalam pada itu Seri Paduka bertitah, sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Malaysia perlu menunjukkan keupayaan dalam memimpin dan menentukan hala tuju ASEAN.

Malaysia titah Seri Paduka, perlu kekal tegas mendukung prinsip keamanan, menentang keganasan dan penindasan.

“Peperangan di Gaza perlu segera ditamatkan dan keadilan undang-undang hendaklah dilaksanakan,” titah Seri Paduka.

Seri Paduka turut menegaskan mengenai semangat kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi membawa negara ini terus kukuh.

Sultan Ibrahim bertitah, setiap tindakan dan keputusan mestilah dibincang secara sepakat demi masa depan rakyat dan negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas