KEUNIKAN permainan tradisi seperti congkak, catur dan dam aji merupakan antara aktiviti yang menggamit nostalgia bagi kanak-kanak zaman silam. Suatu ketika dahulu sukan inilah yang mewarnai kehidupan di kampung-kampung.
Seiring masa berlalu dan merentas arus kemodenan, ia tetap malar segar apabila pelbagai pihak khususnya agensi kerajaan seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara menjalankan pelbagai usaha untuk memartabatkan kembali permainan ini.

Malah pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama kawasan kejiranan setempat serta Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sekitar Kuala Lumpur turut menganjurkan pertandingan permainan tradisional.
Terbaharu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Komuniti Bandar Tun Razak mengadakan Karnival Sukan Komuniti Kampung di Dataran Pangsapuri Seri Malaysia.
Acara menarik yang melibatkan kira-kira 200 peserta tersebut menghimpunkan lima permainan tradisional seperti congkak, batu seremban, sepak raga bulatan, dam aji dan tendang tin.

Pengerusi Komuniti Madani Parlimen Bandar Tun Razak merangkap Pengarah Projek, Hanif Lokmanal Hakim berkata ia merupakan salah satu wadah yang boleh mengeratkan dan menyemarakkan perpaduan penduduk setempat.
“Di peringkat sub zon, ini adalah kali pertama diadakan dan alhamdulillah sambutan yang diterima amat menggalakkan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
“Terima kasih kepada KBS kerana menghulurkan dana kepada Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak untuk kita laksanakan program sukan bersama komuniti yang meriah.
“Ia bukan sahaja mewujudkan peluang untuk melakukan aktiviti riadah santai semata-mata bahkan dapat membentuk satu platform baharu kepada generasi muda untuk menyertai, mengenali dan mengetahui permainan-permainan zaman dahulu,” katanya.
Mengulas lanjut, Hanif berkata semangat kesukanan dalam diri masyarakat setempat adalah hasrat yang ingin dicapai sekali gus menjadikannya sebagai acara bulanan dengan beberapa tambahan acara sukan yang lain seperti hiking yang melibatkan enam zon di Bandar Tun Razak.
“Insya-Allah perancangannya adalah pada bulan Mei di mana skop penglibatan komuniti akan diperluaskan bukan sahaja daripada sub zon sahaja tetapi kepada skala yang lebih besar,” katanya.
Penyatuan kaum
Karnival Sukan Komuniti Kampung dilihat menjadi platform dalam memartabat dan mengangkat kembali kesenian permainan tradisi agar ia tidak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.
Pegawai Tugas-Tugas Khas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Mohamad Mahathir Mohamed Younos berpandangan program seperti itu adalah langkah yang baik untuk mewujudkan sikap prihatin dalam kejiranan.
“Ia melibatkan penduduk setempat secara aktif tidak kira golongan dewasa mahupun kanak-kanak dan melalui situlah akan menjadi wadah penyatuan hubungan masyarakat setempat.
“Sukan komuniti bukanlah satu benda baharu yang telah dilaksanakan. Setiap tahun kementerian akan menyediakan dana khas kepada Parlimen kawasan, MPP, NGO dan sebagainya untuk menganjurkan aktiviti seperti ini.
“Jadi dengan suasana di sini tambahan pula berdekatan dengan kawasan kampung, ia boleh menyemarakkan lagi penyertaan dan suasana dengan permainan tradisional yang ditampilkan,” ujarnya.
Tambahnya, acara sukan seperti ini juga pernah dianjurkan di peringkat Bandar Tun Razak menerusi Karnival Sukan Parlimen (SUKPAR).
“SUKPAR merupakan acara tahunan di bawah penyelarasan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) yang diadakan di seluruh kawasan Parlimen di bawah Wilayah Persekutuan,” ujar beliau. – WILAYAHKU