Berita

Vocal Pizzest menang dua emas sempena The World Choral Cup… ‘Ia bukan sesuatu yang mudah’ – Mawar Mikaila

- Diterbit 23 November 2024 9:31 PM MYT

KEJAYAAN yang amat membanggakan negara apabila 18 pelajar Malaysia daripada kumpulan Vocal Pizzest merangkul dua anugerah emas dalam pertandingan koir sedunia ‘Sing For Gold’ yang berlangsung di Calella dan Barcelona, Sepanyol pada 24 hingga 28 Oktober, baru-baru ini.

Vocal Pizzest merupakan gabungan Sekolah Internasional Cempaka Bukit Damansara dan Sekolah Cempaka Cheras merangkul dua Anugerah emas dalam pertandingan koir sedunia ‘Sing For Gold’ yang berlangsung di Calella dan Barcelona, Sepanyol.

Mengharumkan nama Malaysia di mata dunia, Vocal Pizzest dari Sekolah Cempaka menang dua emas di The World Choral Cup di Sepanyol baru-baru ini

Festival dan pertandingan koir yang telah berlangsung pada 24 hingga 28 Oktober yang lalu ini turut disertai oleh 51 kumpulan koir yang hebat mewakili 33 buah negara.

Dua pingat emas yang dimenangi Vocal Pizzest adalah dalam kategori Koir Kanak-Kanak dan kategori Pop, Jazz & Gospel.

Pertandingan berprestij ini dianjurkan oleh INTERKULTUR yang merupakan penganjur terbesar dunia bagi Festival dan Pertandingan Koir Antarabangsa.

Wajah ceria anak Malaysia menjadi perhatian di perarakan untuk majlis perasmian Sing For Gold do Calella, Sepanyol.

Pelajar-pelajar yang berumur dari 8 hingga 14 tahun ini adalah kumpulan yang paling muda dari Malaysia, bertanding mewakili Asia Tenggara.

Dalam kategori pertandingan Koir Kanak-Kanak, Vocal Pizzest Malaysia mempersembahkan Lagu Rakyat Malaysia dan rangkaian lagu-lagu medley dari CPAC Muzikal, Alice’s Wonderland yang dicipta oleh komposer tempatan Nick Choo yang juga pemenang BOH Cameronian Arts Awards.

Lagu-lagu rakyat yang diadaptasikan dengan harmoni dan indah turut dilengkapi dengan alat muzik tradisional Malaysia seperti kompang, pakaian songket dihiasi bunga dan sanggul emas untuk kanak-kanak perempuan.

Peserta “Vocal Pizzest” menampilkan pakaian tradisional menjadi perhatian.

Bukan itu sahaja, tanjak dan samping turut ditampilkan untuk kanak-kanak lelaki yan tersergam indah berdiri megah di atas pentas.

Pemimpin koir mereka, Cik Melinda Sik, memainkan peranan yang sangat baik dalam memberi arahan di atas pentas.

Suara kanak-kanak Malaysia ini halus dan merdu bergema di Konservatori Muzik Liceu Barcelona, menyanyikan lagu klasik Malaysia, Wau Bulan, Lenggang Kangkung, Rasa Sayang, Sayang Kinabalu dan Chan Ma Li Chan disertakan dengan koreografi
tarian Melayu yang sopan memukau mata yang memandang.

Peserta “Vocal Pizzest” bersama ibubapa yang sentiasa memberi semangat kepada anak tercinta dalam mencapai kejayaan di The World Choral Cup

Dalam kategori, Pop, Jazz & Gospel, Vocal Pizzest Malaysia mempersembahkan lagu-lagu daripada “Spooks” ciptaan Nick Choo.

Kanak-kanak Malaysia kali ini menukar gaya yang berbeza bersesuaian dengan genre yang diperlukan dalam kategori tersebut.

Koreografi yang mantap dan nyanyian medley yang harmonis mencuri hati penonton dan juri ketika mereka menyanyikan lagu-lagu Spooks Medley.

Persembahan hebat dan memukau penonton peserta Vocal Pizzest sempena The World Choral Cup.

Koir dari negara lain yang turut mengambil bahagian adalah dari Iran, Great Britain, Amerika Syarikat, Mexico, Korea, Zimbabwe, Peru dan negara-negara Eropah seperti Finland, Sepanyol, Itali, Jerman, Sweden, Bulgaria, Norway dan Denmark.

Sewaktu keputusan pemenang diumumkan, wakil-wakil dari Malaysia cukup berbangga dan gembira apabila Kumpulan koir Vocal Pizzest memenangi dua anugerah emas bagi kedua-dua kategori.

Mawar Mikaila (paling kiri) bersama Layla Sakeenah Anwar dan Lara Janna dari Sekolah Cempaka Amat berbangga dapat mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Laungan “We love you Ms. Mel!”, menyebabkan cikgu dan ibu bapa mereka tidak dapat menahan air mata. Kemenangan mereka merupakan kebanggaan untuk semua rakyat Malaysia dan Sekolah Cempaka.

Ketua Pengarah CPAC, Andrew Chan memberi ucapan tahniah kepada pelajar-pelajar kerana ini adalah pertama kali pasukan Vocal Pizzest mengambil peluang bertanding dalam pertandingan antarabangsa.

Sewaktu pertandingan ini, para pelajar yang menyertai pertandingan tersebut banyak menimba ilmu dan mempelajari perkara-perkara baharu.

Bukan sahaja ia membuka minda melihat gabungan etnik dan menjalin persahabatan dengan negara luar, malah mereka juga dapat menimba pengalaman serta disiplin dalam melakukan latihan yang padu, bekerja keras, dan memberikan komitmen yang sepenuhnya.

Walaupun perjalanan yang jauh selama lebih 20 jam dan keadaan hujan lebat di Barcelona, ini tidak menghalang mereka untuk memberikan yang terbaik.

Mereka bersyukur kerana menerima sokongan yang hebat dari ibu bapa dan para guru sehingga mereka dapat bersaing di pentas dunia.

Pengalaman ini merupakan sesuatu perkara yang tidak ternilai harganya pada mereka semua. Mereka berharap semoga banyak lagi peluang emas seperti ini pada masa hadapan.

Mawar Mikaila bersama Ibu tercinta Datuk Sri Rozita Ramelan antara ibubapa yang turut memberi sokongan moral Peserta Vocal Pizzest di The World Choral Cup baru-baru ini.

Menurut salah seorang anggota Vocal Pizzest, Mawar Mikaila Datuk Omar Mustapha, bukan mudah untuk mereka memenangi pingat emas memandangkan saingan begitu sengit antara peserta.

“Kemenangan ini sebenarnya satu kejutan buat kami dan ini adalah atas pengorbanan selama ini dan bukan senang untuk memenangi pingat emas kerana saingan yang sungguh hebat.

“Kemenangan ini amat bermakna bagi kami dan pastinya hadiah untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Kemenangan ini secara tidak langsung membuatkan rakyat Malaysia amat berbangga dan semoga kejayaan dua emas dari Sekolah Cempaka menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak muda di tanah air kita. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas