Vietnam akan eksport 1,600 tan beras wangi ke Singapura, Malaysia

Vietnam akan eksport 1,600 tan beras wangi ke Singapura, Malaysia

VIETNAM akan mengeksport 1,600 tan beras wangi berkualiti  tinggi ke Singapura dan Malaysia, umum Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar pada Rabu.

Sebanyak 450 tan beras Jasmine 85 akan dihantar ke Singapura dengan nilai US$680 per tan, sementara 1,150 tan beras wangi “Huong Lai” dihantar ke Malaysia bernilai US$750 per tan, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Ketua Pengarah Trung An JSC, Pham Thai Binh berkata syarikat ini juga akan mengeksport lebih 2,000 tan beras ke Jerman.

Binh berkata, di sebalik masalah wabak COVID-19, industri beras Vietnam berjaya mengharungi keadaan itu, nilai eksport beras catat peningkatan lebih sembilan peratus 2020 walaupun tidak setinggi yang dicatatkan pada 2019.

Awal 2021 dan hujung tahun lalu, beberapa syarikat di bawah Persatuan Makanan Vietnam (VFA), termasuk Trung An JSC, menandatangani kontrak eksport, terutama dengan rakan Eropah dan negara anggota Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Malaysia dan Singapura dua daripada 10 pengimport terbesar beras Vietnam.

Tahun lalu Vietnam mengeksport 6.15 juta tan beras, memperoleh anggaran US$3 bilion, walaupun jumlah itu menurun sekitar 3.5 peratus. – BERNAMA

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )