Berita

Video TMM 2026 dimuktamadkan petang ini

- Diterbit 18 Februari 2025 4:30 PM MYT

VIDEO mempromosikan Tahun Melawat Malaysia (TMM 2026) yang baharu akan dimuktamad petang ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing, berkata isu video promosi TMM 2026 tidak sepatutnya dipolitikkan.

“Saya sudah banyak kali jawab isu video itu. Petang ini baru keluar video yang muktamad dan saya akan pergi tengok.

“Jangan salah faham, itu hari kita hanya keluarkan video bangunan diiktiraf UNESCO saja,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.

King Sing menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid, (PN-Padang Terap) mengenai strategi yang dilaksanakan untuk meningkatkan pelancong Muslim ke negara ini.

Bulan lalu, video montaj TMM 2026 menerima kritikan termasuk daripada pembangkang yang menggesa ia ditarik balik kerana didakwa cuai berikutan tiada elemen masjid dipaparkan, sedangkan terdapat paparan rumah ibadat seperti gereja dan kuil.

Terdahulu King Sing menjawab soalan asal, berkata Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) kini sedang mengkaji semula sasaran pelawat bagi TMM 2026.

Ini kerana tahun lalu jumlah pelawat antarabangsa yang memasuki negara ini adalah seramai 38 tahun, melepasi sasaran MOTAC sempena TMM 2026 sebanyak 35.6 juta pelancong.

Sempena kempen TMM 2026, MOTAC melalui agensinya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri, agensi swasta, NGO (Non Government Organization), NPO (Non Profit Organization) dalam mengangkat acara-acara sedia ada.

Acara-acara seperti Rainforest World Music Festival, Keretapi Sarong, pameran MAHA, Midnight Mega Sale Malaysia, program IFTAR dan lain-lain juga akan
diteruskan dengan sokongan TM2026.

Sebelum ini MOTAC telah pun mengadakan Midnight Mega Sales di Johor dan akan memperluas program itu, selain turut mempromosikan Pesta Makanan (food
Festival) untuk semua negeri.

King Sing juga, berkata TM 2026 dijangka memberikan impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara, khususnya dalam sektor pelancongan seperti pengangkutan, penginapan, perkhidmatan restoran, penjaja dan produk tempatan.

“Sektor pengangkutan seperti penerbangan, bas, Grab, teksi dan lain-lain akan menerima permintaan
yang lebih tinggi.

“Ini dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan
dalam bidang pengangkutan dan meningkatkan hasil pendapatan syarikat penerbangan dan pengangkutan awam,” katanya lagi.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas