Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
BUDAYA vape dalam kalangan pelajar sekolah semakin membimbangkan lebih-lebih lagi ia turut dijual di premis berhampiran sekolah selain tiada sebarang penyekatan penjualan.
Menurut Setiausaha Agung Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Muhammad Sha’ani Abdullah, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 masih melarang sebarang jualan hasil tembakau kepada mereka di bawah umur 18 tahun.
“Pihak Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) sudah menguatkuasakan pelesenan jualan produk tembakau mulai 2023 dan pematuhan ini harus dijalankan oleh semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah kuasa melesen peniaga-peniaga di bawah kawasan pentadbiran.
“Ini harus dikuatkuasakan supaya sebarang pelanggaran jualan hasil tembakau kepada orang bawah umur dapat diambil tindakan dan premis-premis berhampiran sekolah atau institusi pendidikan tidak diluluskan lesen jualan hasil tembakau.
“Tindakan sama harus dilakukan apabila peraturan-peraturan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dikuatkuasakan,” katanya kepada Wilayahku.
Beliau yang juga Penyelaras Inisiatif Malaysia Bebas Asap Rokok Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berkata tiada sebarang kawalan yang komprehensif untuk mengawal penjualan dan pemilikan peranti serta cecair vape menjadikannya satu cabaran untuk menghalang golongan bawah umur daripada mendapat akses barang tersebut.
“Seperti kita ketahui, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) 2024 telah pun diwartakan pada awal tahun ini, bagaimanapun dengan ketiadaan peraturan-peraturan yang memperincikan kawalan-kawalan di bawah Akta 852 ia tidak dapat dikuatkuasakan, peraturan-peraturan tersebut kini disemak oleh pihak Jabatan Peguam Negara.
“Keadaan ini memberi kesan buruk kepada kesihatan awam kerana ia membolehkan penjualan produk vape tanpa kawalan berterusan sekali gus berpotensi meningkatkan akses dan penggunaan di kalangan belia malah oleh kanak-kanak juga,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Muhammad Sha’ani berkata kelewatan dalam penguatkuasaan Akta 852 juga telah mewujudkan kelompongan pengawalseliaan yang membawa kepada peningkatan penjualan dan penggunaan produk vape.
“Namun saya berpendapat selain Akta 852, terdapat saranan untuk pelaksanaan yang lebih komprehensif bagi menangani penggunaan rokok elektronik yang semakin meningkat dan ia termasuk tindakan pematuhan larangan merokok di tempat-tempat awam.
“Objektif larangan merokok di tempat awam adalah untuk melindungi semua daripada terdedah kepada asap rokok khususnya kanak-kanak, ibu mengandung serta warga emas dan menggalakkan perokok mengurangkan kadar merokok supaya dapat berhenti daripada perbuatan tersebut.
“Selain itu, kita juga boleh laksanakan pengesahan umur yang lebih ketat dan tingkatkan larangan merokok kepada 21 tahun; sekatan pemasaran serta hukuman yang lebih jelas supaya undang-undang ini berkesan,” ujarnya – WILAYAHKU