Fokus

Vape: Remaja mahu tunjuk hebat

- Diterbit 9 Ogos 2024 11:50 AM MYT

Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR

TREND golongan muda menghisap vape atau rokok elektronik semakin membimbangkan apabila perbuatan tersebut turut dilakukan di perkarangan sekolah sekali gus menggambarkan seolah-olah ibu bapa dan guru gagal dalam mendidik mereka.

Seorang ibu kepada pelajar sekolah menengah yang hanya mahu dikenali sebagai Saripah berkata usia remaja adalah zaman yang paling mencabar kerana mereka ini mempunyai sikap ingin mencuba dan mudah terpengaruh dengan rakan sebaya untuk melakukan apa sahaja sama ada yang baik ataupun buruk.

“Oleh kerana itu, kita sebagai ibu bapa perlu ada ilmu tentang bagaimana hendak mendidik serta membesarkan anak supaya tak berlaku perkara yang tidak diingini.

“Bagi saya sendiri, apa yang saya praktikkan untuk anak-anak adalah dengan mengawal perbelanjaan mereka, ia mungkin kedengaran kejam namun itu adalah yang terbaik kerana mereka tidak akan bazirkan wang yang sedikit itu untuk beli perkara tidak bermanfaat seperti vape atau rokok.

“Selain itu, saya akan pastikan mengenali semua rakan mereka di sekolah untuk mengetahui sama ada ia memberi pengaruh yang baik atau sebaliknya,” katanya yang juga merupakan seorang guru sekolah menengah di sekitar Kuala Lumpur.

Saripah berkata dia kini juga menyedari trend di mana vape dihasilkan dalam pelbagai bentuk sehingga mampu memanipulasi orang ramai terutamanya kanak-kanak.

“Saya tahu wujudnya vape yang berbentuk seperti pen membuatkan ada pelajar yang berani untuk membawanya ke sekolah, sebagai guru kita ada buat spotcheck secara mengejut tapi mungkin ada kes yang terlepas pandang dan buat mereka yang tertangkap kebiasaannya kita akan hubungi ibu bapa untuk maklumkan berkenaan perkara tersebut.

“Nasihat saya, sebagai ibu bapa perlu cakna dengan perubahan semasa terutama pembuatan vape yang dihasilkan dalam pelbagai bentuk seperti gula-gula, mainan dan banyak lagi. Anak-anak kecil mungkin tidak dapat membezakannya dan di situ penjaga perlu memainkan peranan supaya tidak berlakunya ketagihan pada usia muda,” pesannya.

Sementara itu, faktor ingin mencuba sesuatu yang baharu menjadi antara penyebab utama Aidil, 19, menghisap vape seawal usia 17 tahun.

“Saya mula kenal vape melalui rakan sekelas ketika itu, pada mulanya hanya mahu mencuba namun ia menjadi ketagihan sehingga kini.

“Keluarga hanya mengetahui saya menghisap vape apabila sudah tamat persekolahan dan mungkin disebabkan itu tiada sebarang tindakan diambil memandangkan saya dah besar dan boleh buat keputusan sendiri,” jelasnya.

Berkongsi lanjut, Aidil berkata antara faktor lain kawan-kawannya menghisap vape ketika di sekolah adalah untuk menunjukkan bahawa diri mereka lebih hebat dan sudah dewasa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas