Berita

Vaksinasi harian catat rekod tertinggi semalam, lebih 1.18 juta lengkapkan dos kedua

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata sehingga semalam seramai 1,180,744 individu di negara ini telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 masing-masing. Kredit foto oleh - Twitter Dr Adham Baba
- Diterbit 9 Jun 2021 3:55 AM MYT

PROGRAM Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mencatat rekod vaksinasi harian tertinggi semalam dengan pemberian sebanyak 151,309 dos selepas ia dilaksanakan bermula 24 Feb lepas.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memaklumkan daripada keseluruhan dos yang diberikan semalam, seramai 105,722 individu mendapat suntikan pertama.

“Sementara itu, 45,587 lagi menerima dos kedua,” demikian menurut jawatankuasa itu menerusi laman Twitternya.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata sehingga semalam seramai 1,180,744 individu di negara ini telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 masing-masing.

Dr Adham menerusi akaun Twitternya berkata seramai 2,609,377 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini ialah 3,790,121 dos setakat semalam.

Beliau berkata lima negeri yang telah melengkapkan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 152,215 dos diikuti Sarawak (124,820), Kuala Lumpur (108,740), Perak (108,361) dan Johor (107,192).

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan menyasarkan lebih 200,000 orang akan menerima suntikan vaksin COVID-19 sehari bermula Julai ini.

Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata jumlah itu kemudian akan ditingkatkan kepada lebih 300,000 orang sehari mulai Ogos.

Setakat semalam, 52.7 peratus atau 12,774,132 individu telah mendaftar untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 3,367,090 orang.

Mengikut perancangan, fasa kedua program itu yang bermula April hingga Ogos ini akan melibatkan pemvaksinan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya.

Fasa ketiga bermula bulan lepas hingga Februari 2022 pula melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

Pada fasa pertama program yang berlangsung dari Februari hingga April lepas, kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan termasuk warga kesihatan menerima vaksin itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas