Artikel

Utamakan domestik

- Diterbit 27 September 2024 5:42 PM MYT

CUTI-CUTI Malaysia terserlah sepanjang cuti Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW‚ Hari Malaysia serta cuti penggal persekolahan baru-baru ini. Rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat mengambil kesempatan melancong ke beberapa tempat menarik dalam negara.

Ini satu petanda yang sangat menggalakkan dalam usaha menyemarakkan cuti dalam negara bersama keluarga. Banyak destinasi pelancongan ada di negara ini untuk dilawati. Banyak tarikan pelancongan untuk berlibur sedia menanti.

Bagi kawan-kawan Kedai Kopi‚ produk pelancongan di negara ini tidak kurang hebatnya berbanding negara luar. Justeru adalah lebih baik menumpukan kepada pelancongan dalam negeri.

Kawan-kawan Kedai Kopi seronok melihat destinasi pelancongan seperti Langkawi atau Cameron Highlands‚ yang tetap menjadi tumpuan pelancong tempatan. Walaupun kawasan tersebut sesak kerana kebanjiran pelancong‚ tidak mematahkan semangat orang ramai untuk berkunjung.

Sebenarnya setiap negeri di Malaysia ada tarikan pelancongannya tersendiri. Ini termasuk di ibu negara Kuala Lumpur. Kerana itu wajar bagi orang ramai mengunjungi dan melihat produk pelancongan setiap negeri.

Tidak kurang hebat ialah Sabah dan Sarawak. Di Sarawak misalnya Kampung Budaya memberi peluang kepada pengunjung melihat replika kediaman serta mempamer adat budaya penduduk etnik Sarawak. Yang gemarkan pelancongan laut seperti menyelam atau snorkeling boleh ke pulau-pulau di Sabah.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas