Berita

Usia bukan penghalang buat Blues Gang

- Diterbit 14 Jun 2024 12:20 PM MYT

USIA tidak menjadi penghalang Blues Gang untuk beraksi hebat pada konsert solo pertama mereka, Blues Gang Apo Nak Dikato yang dijadualkan berlangsung pada 9 Ogos depan di Zepp KL.

Menurut vokalisnya Ito Mohd, mereka masih boleh membuat persembahan dengan baik kerana mereka adalah penyanyi dan pemuzik sepenuh masa.

“Kami tak pernah berhenti menyanyi jadi dari segi persediaan insya-Allah bersedia. Sememangnya dari segi tenaga, ada kurangnya tapi kami akan gunakan teknik nanti.

“Konsert anjuran AV Group ini adalah sebagai cerminan perjalanan lima dekad Blues Gang pada persembahan yang dinamakan bersempena judul malar segar, Apo Nak Dikato yang dikeluarkan 40 tahun lalu,” ujarnya.

Ito juga menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya Blues Gang hanya ‘hidup’ disebabkan beberapa buah lagu yang masih dimainkan di radio.

“Walaupun kehilangan beberapa ahli. Sekarang kami tinggal hanya bertiga selepas pemain bass, Jim Madasamy dan pemain dram yang juga pengasas bersama Blues Gang, Shaikh Karim meninggal dunia.

Selain Ito atau nama sebenarnya Mohd Arif Kendut, turut meneruskan perjuangan Blues Gang adalah Julian Mokhtar sebagai pemain gitar utama dan Ghani Dato Abu Talib (gitar kedua dan keyboard).

Tambah Ghani pula, konsert tersebut akan melakar sejarah bagi Blues Gang.

“Konsert ini adalah klimaks sebab selama 50 tahun saya tak pernah fikir kami akan sejauh ini,” katanya.

Menurut penganjur Zool Azri dari AV Group, Blues Gang dikagumi kerana keutuhan identiti yang dibawa selama 50 tahun.

“Selain puluhan hits Blues Gang seawal 70-an, segmen khas Melayu pula akan menyaksikan alunan blues dan rock menyatu dengan Dikir Barat, serunai Melayu, gendang serta beberapa muzik tradisi Melayu yang menjadi teras muzik Melayu Malaysia sejak zaman-berzaman,” ujarnya.

Lagu-lagu siulan seperti Ibu dan lagu ikonik Apo Nak Di Kato akan dipersembahkan dalam konsert selama hampir dua jam selain lagu Inggeris daripada album terdahulu berjudul Malaya Blues bakal mengembalikan nostalgia.

Blues Gang yang akan muncul dengan album baharu mereka berjudul Panglima Awang Hitam ini juga menganggap bukan satu isu besar apabila konsert mereka sama dengan tarikh konsert ratu rock negara, Ella di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Selain persembahan, pelbagai cenderahati akan dihadiahkan kepada penonton bertuah pada konsert itu nanti.

Peminat boleh mendapatkan tiket-tiket konsert di laman web ilassotickets.com mulai sekarang sehingga ke tarikh konsert atau membeli secara bayaran ansuran sebanyak tiga kali di laman web itu nanti menggunakan aplikasi Atome.

Tiket berharga RM198 (Silver), RM268 (Gold), RM398 (Platinum) dan RM338 (Diamond), selain RM5,099 (Royal Box – ruang eksklusif boleh memuatkan 8-10 pax).

Sebarang pertanyaan boleh layari ilassotickets.com atau hubungi hotline 011-1329 7822.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas