Berita

Usanita Fest Kita Merdeka Madani, Jiwa Merdeka kenang nostalgia zaman kanak-kanak

- Diterbit 31 Ogos 2024 3:32 PM MYT

USANITA Sdn Bhd dengan penuh semangat menganjurkan Usanita Fest Kita Merdeka Madani, Jiwa Merdeka di Menara Kuala Lumpur pada 29 September, baru-baru ini.

Acara ini menggabungkan elemen masa depan dan masa lampau, bertemakan neon dan nostalgia zaman kanak-kanak, untuk menyatukan semua dalam satu program yang penuh warna-warni dan berjiwa merdeka.

Majlis ini telah dimeriahkan dengan kehadiran tetamu kehormat Perdana Menteri Malaysia ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Prof Datuk Seri Dr Hasan.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan, Menara Kuala Lumpur Datuk Abdul Hamid Shaikh bersama Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Nazli Saad.

PERDANA Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri (kanan) turut bermain congkak

Usanita Fest Kita Merdeka Madani, Jiwa Merdeka mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak yang menyatukan kite semua.

Usanita Fest dimeriahkan lagi dengan barisan selebriti terkenal seperti Awal Ashaari, Ella, Fiza Sabjahan, Amir Masdi, Uyaina, Zoey Rahman, Marsila Hasan dan Syairul Islam.

Mereka turut sama menyemarakkan semangat kemerdekaan melalui penampilan dan persembahan yang menghiburkan.

Menariknya, acara ini mengimbau kenangan zaman kanak-kanak dengan pelbagai aktiviti seperti permainan tradisional congkak, batu seremban dan ting ting, selain daripada demo seni kraf canting batik yang membangkitkan warisan tradisi kita.

Suasana bertambah meriah dengan sentuhan futuristik yang diterapkan melalui elemen neon dan gubahan muzik dari DJ yang menggetarkan, direka khas untuk menarik minat golongan muda dan pelancong yang ingin merasai keunikan budaya Malaysia.

Satu lagi sorotan istimewa ialah ketika semua tetamu kehormat dan hadirin bersama-sama naik ke pentas untuk mengibarkan Jalur Gemilang, mereka diiringi nyanyian Ella dengan lagu Standing in The Eyes of The World.

Momen ini sungguh mengujakan, menghidupkan semangat patriotisme dan kebanggaan terhadap tanah air.

KETUA Pegawai Eksekutif Usanita, Datuk Adzliana (kanan) bawa pendekatan ‘throwback to childhood memories’ ini memberikan sentuhan nostalgia yang membawa kita
kembali ke zaman kecil.

Datuk Adzliana, Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, dalam ucapannya berkongsi bahawa tema Jiwa Merdeka dipilih untuk menghidupkan semula memori indah zaman kanak-kanak sambil menyatukan semua lapisan masyarakat dalam semangat kemerdekaan.

Pendekatan ‘throwback to childhood memories’ ini memberikan sentuhan nostalgia yang membawa kita kembali ke zaman kecil, sementara elemen neon melambangkan harapan masa depan yang lebih cerah,” kata beliau dengan penuh inspirasi.

Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil juga menyatakan rasa bangganya terhadap pencapaian Usanita bawah kepimpinan Datuk Adzliana, berharap beliau akan terus bersemangat memberi sumbangan kepada masyarakat. – WILAYAHKU

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas