Biz

Usahawan perlu terima perubahan digital

KERJAYA sebagai live host kini menjadi rebutan terutamanya dalam kalangan anak muda. - Gambar hiasan
- Diterbit 9 Disember 2024 3:50 PM MYT

PERKEMBANGAN teknologi ketika ini menjadikan platform media sosial sebagai salah satu fenomena pemasaran yang digunakan oleh organisasi atau individu untuk menjual barangan secara langsung di TikTok‚ Facebook‚ YouTube dan sebagainya.

Dalam masa sama‚ ia menyaksikan wujudnya kerjaya sebagai live host yang kini menjadi rebutan terutamanya dalam kalangan anak muda sekali gus membuktikan usahawan perlu mempersiapkan diri serta menerima dengan terbuka perubahan digital pada hari ini.

Memberi pandangan tentang perkara tersebut‚ Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya‚ Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata‚ sebagai usahawan mahu atau tidak mereka perlu menerima perubahan digital yang kini menjadi satu kemestian.

“Tak boleh nak tolak sebab kita berada di era digital. Tidak dinafikan masyarakat kini lebih suka mendengar dalam bentuk video kerana ia lebih ringkas dan padat.

“Jika sebelum ini orang lebih suka membaca‚ menggunakan poster dan sebagainya tetapi pada masa kini kita dapat lihat pembaca lebih tertarik melihat video pendek kurang daripada tiga minit. Disebabkan itu juga kita lihat‚ masing-masing berlumba untuk berniaga secara dalam talian.

“Pada pandangan saya‚ peniaga dalam talian ini‚ mereka boleh bertahan kerana bisnes tersebut tidak memerlukan kos besar dari segi operasi selain capaian pemasaran juga tinggi selagi mana adanya Internet. Cuma cabarannya adalah daripada segi persaingan.

“Ketika ini orang dah mula tidak berniaga menggunakan kedai fizikal‚ masing-masing mahu berniaga dalam talian‚ jadi persaingan  dengan orang yang menjual barangan yang sama di pasaran dalam talian adalah sangat tinggi.

“Untuk itu‚ peniaga kena ada inovasi‚ tidak boleh dengan cara yang sama‚ jadi setiap hari perlu fikir strategi supaya kita kelihatan lebih menarik walaupun jual produk yang sama‚” ujarnya.

Muhamad Khanafi menasihatkan usahawan agar peka dengan lima tips untuk memastikan perniagaan dalam talian kekal relevan iaitu menggunakan teknologi‚ memahami serta mengenali audiens‚ memastikan produk berkualiti‚ berinovasi dalam produk dan servis serta mengikut trend dan perubahan dalam persekitaran bisnes.

“Usahawan seharusnya memahami apa literasi digital serta kepentingannya seperti memahami algorithm‚ platform e-dagang dan sebagainya‚ jika mereka faham‚ insya-Allah akan bertahan.

“Selain itu‚ perlu juga memahami kehendak pelanggan kerana minat akan sentiasa berubah-ubah. Penting juga untuk melihat fokus pencapaian untuk jangka masa panjang‚ jangan sesekali berfikir untuk jangka masa pendek.

“Dari sudut inovatif dan kreatif pula‚ fikirkan kandungan kreatif jika tidak mampu menyediakannya‚ upah mereka yang layak agar sentiasa tampak segar di pandangan mata audiens‚” ujarnya lagi.

Menyentuh tentang usaha DPIM dalam membantu usahawan dalam talian berkembang‚ beliau berkata‚ pelbagai bantuan diberi antaranya kursus pemasaran digital‚ kelas Kecerdasan Buatan (AI) serta taklimat percuma kepada usahawan dengan kerjasama agensi berkaitan digital antaranya Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

“Kita bantu melalui geran disediakan MDEC sebanyak RM5‚000‚ usahawan yang berjaya MDEC minta panel-panel digital mereka menyediakan konten pemasaran digital kepada pihak usahawan‚” ujarnya.

Ditanya adakah perniagaan fizikal tidak lagi mendapat sambutan pada masa kini‚ Muhamad Khanafi berkata‚ ia masih mempunyai peminatnya yang tersendiri kerana setiap perniagaan itu memiliki kelebihan dan kekurangan yang pastinya ia turut dipengaruhi oleh perkembangan semasa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas