Berita

Usaha beri kefahaman kepelbagaian budaya perlu terus didukung – Anwar

- Diterbit 31 Mei 2023 8:45 AM MYT

DATUK Seri Anwar Ibrahim mahu usaha memberi kefahaman terhadap kepelbagaian budaya dalam negara terus dilaksanakan dalam menjelmakan rasa cinta dan kasih sayang serta memperkukuhkan kerukunan antara masyarakat.

Mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada masyarakat Sabah dan Sarawak yang menyambutnya, Perdana Menteri berkata usaha-usaha sedemikian semestinya perlu terus didukung masyarakat berbilang kaum dan budaya dalam negara.

“Dalam kesempatan sama, saya ingin menyatakan penghargaan kepada sekumpulan masyarakat Borneo yang baru-baru ini berarak dalam pakaian tradisional mereka di ibu kota dalam usaha mengetengahkan serta menggariskan budaya masyarakat Borneo yang tentunya membentuk aspek kepelbagaian budaya di Malaysia.

“Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan dan Gayu Guru Gerai Nyamai kepada seluruh masyarakat Sabah dan Sarawak,” kata Anwar dalam hantaran di media sosialnya.

Pesta Kaamatan yang juga dikenali sebagai Pesta Menuai disambut masyarakat Kadazandusun di Sabah semalam dan hari ini sebagai tanda kesyukuran selepas berakhir musim menuai.

Pada 20 Mei lepas, di ‘Borneo Native Festival’ yang dianjurkan sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai, lebih seratus peserta mengadakan perakan lengkap berpakaian tradisonal dari Sabah dan Sarawak di sekitar Pasar Seni di sini, antara lain bagi memberi lebih pendedahan tentang kaum dan budaya yang terdapat di kedua-dua negeri itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas