Berita

Usaha bantu mangsa banjir di Sungai Buloh diteruskan – Ramanan

- Diterbit 6 Oktober 2024 3:03 PM MYT

USAHA untuk membantu mangsa banjir di Parlimen Sungai Buloh diteruskan semalam, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan.

Beliau turun bersama pasukan sukarelawan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh bagi membantu mangsa banjir.

“Saya bersama Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Rusli Jaafar menghulurkan sedikit bantuan keperluan asas seperti barangan dapur dan peralatan elektrik untuk penduduk yang terjejas dengan banjir kilat.

“Terima kasih SKM. Saya dapat menyelami perasaan mereka ketika bertemu dan mendengar bisikan hati mereka.

“Saya cukup memahami kesukaran dan kesusahan yang dihadapi. Saya akan cuba bantu yang terbaik. Kita perlu bersama mereka,” katanya di Facebook.

Tambah Ramanan pasukan sukarelawan akan teruskan kerja pembersihan untuk penduduk memerlukannya.

“Terima kasih kepada pasukan sukarelawan yang turut berada di lapangan sejak dua hari lepas untuk membantu menguruskan kerja-kerja pembersihan dan bantuan-bantuan lain,” katanya.

Sementara itu, Ramanan berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan sejumlah RM481 juta untuk pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir untuk Sungai Damansara.

“Saya akan pastikan projek ini dapat dipercepatkan demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan warga Sungai Buloh,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas