Selebriti

“Untuk apa kejar sesuatu yang belum pasti?” – Meerqeen

- Diterbit 29 Disember 2023 10:50 AM MYT

PELAKON popular Meerqeen tidak menafikan cinta itu penting sebagai manusia biasa. Namun, perancangan kerjaya adalah lebih utama baginya buat masa ini.

Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 22, mengaku dalam situasi sekarang kerjaya menjadi keutamaannya.

Baginya tahun baharu 2024 adalah waktu untuk dirinya terus mengejar impian tanpa menoleh ke belakang lagi.

“Setiap insan dikurniakan Allah perasaan untuk mencintai dan ingin dicintai. Itu lumrah dan mengapa perlu kita menafikan perasaan indah itu? Cuma dalam hidup ini kita perlu tetapkan prioriti dan apa sasaran yang ingin dicapai pada usia tertentu.

“Cinta tidak salah tetapi kita perlu bijak mengawal emosi supaya tidak terlalu hanyut dengan perasaan hingga lupa apa matlamat dalam hidup. Ramai yang leka dengan cinta sehingga impian yang sepatutnya dicapai tergadai.

“Apa-apa pun ia terpulanglah kepada individu masing-masing. Setiap orang ada impian dan haluan hidup yang berbeza,” katanya.

Pelakon drama bersiri Melur Untuk Firdaus ini berkata dia mempunyai visi yang perlu dicapai dan cinta bukan menjadi keutamaan kerana dia perlu memberi tumpuan kepada kejayaannya dalam bidang seni.

“Banyak lagi perkara yang belum saya capai, jadi sudah tentu saya letakkan kerjaya pada kedudukan pertama. Bagi saya, cinta tidak perlu dipaksa dan dicari, ia akan datang sendiri apabila tiba masanya nanti.

“Untuk apa mengejar sesuatu yang belum kita pasti? Nanti kita kecewa sendiri. Rezeki, jodoh, ajal dan maut telah tertulis. Saya hanya jalani hidup ini dengan memberikan yang terbaik. Dalam pada itu, saya terima dan yakin dengan apa saja ketentuan yang tertulis untuk. Hidup ini penuh dengan misteri dan sebagai hambanya, saya sentiasa percaya Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita,” ujarnya.

Menyentuh soal kontroversi yang melanda, Meerqeen menafikan dakwaan yang menggelarkan dirinya sebagai playboy.

“Pelik juga kenapa nama saya dikaitkan dengan gelaran sebegitu. Namun saya tidak melenting atau marah kerana inilah asam garam dalam kerjaya sebagai pelakon. Semua yang pernah dikaitkan dengan saya itu, kami berjumpa atas dasar kerja. Tidak lebih daripada itu,” ujarnya tidak ada manusia yang sempurna namun dia sentiasa belajar daripada kelemahan lalu.

Soal kerjaya, Meerqeen akan muncul dalam filem Klepet terbitan Respected Citizen Sdn Bhd, bersama barisan pelakon antaranya Nadhir Nasar dan Aedy Ashraf. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas