Berita

UniReady 2023 beri pendedahan buat pelajar lepasan SPM

AZMAN (depan, dua kanan) bergambar bersama peserta Program UniReady Khas 2023 yang diadakan selama tiga hari dua malam di UNITEN, baru-baru ini.
- Diterbit 23 Jun 2023 12:00 AM MYT

PROGRAM University Readiness (UniReady) Khas 2023 ­anjuran Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak diadakan khusus buat pelajar ­lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2022 bagi memberi ­pendedahan ­meluas mengenai kehidupan sebagai seorang mahasiswa kelak.

Menurut Pengerusi Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak, Azman Abidin, program tersebut buat julung kalinya diadakan dan ­melibatkan ­kira-kira 13 buah sekolah dari Parlimen Bandar Tun Razak.

“Bagi program kali ini ­kita mendapat kerjasama daripada ­pihak Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar ­lepasan SPM mengenai kehidupan di ­kampus dan secara tidak langsung menjadikan UNITEN sebagai pilihan utama untuk melanjutkan pelajaran sama ada di peringkat asasi, ­diploma atau ijazah.

“Peserta juga didedahkan ­dengan kursus-kursus yang ditawarkan di UNITEN serta peluang-peluang ­untuk mendapatkan tajaan, geran pendidikan, biasiswa dan ­sebagainya memandangkan mereka yang ­terlibat juga terdiri daripada ­golongan berpendapatan rendah (B40),” ­katanya ketika ­ditemui pemberita ­selepas Majlis Perasmian Penutupan Program UniReady Khas 2023 di UNITEN baru-baru ini.

Beliau berkata antara ­objektif ­penubuhan Yayasan Gerbang ­adalah untuk menyediakan ­peluang dan kemudahan pendidikan ­kepada ­murid-murid dalam Parlimen Bandar Tun Razak terutamanya ­daripada ­keluarga kumpulan B40.

“Selaras dengan ­objektif ­kita, program seperti ini akan ­diteruskan dengan lebih banyak lagi ­terutamanya berkaitan pendidikan khusus buat pelajar dari Parlimen Bandar Tun Razak.

“Saya turut berharap program seperti ini akan terus ­mendapat sokongan daripada semua pihak khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi agar kita dapat ­memainkan ­peranan untuk menghasilkan ­modal insan yang kompetitif dan ­berkualiti,” ujar beliau yang juga merupakan Setiausaha Politik Perdana Menteri.

Berkongsi ­mengenai perkem­bangan terbaharu Yayasan Gerbang, Azman ­berkata ­pihaknya akan menumpukan dan memperluaskan Program Rumah Harapan Kak Wan yang telah ­dilancarkan baru-baru ini khsususnya bagi membantu golongan B40 membaiki rumah usang dan rosak di sekitar Bandar Tun Razak.

“Ia merupakan program ­bersama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan ­ketika ini pihak Yayasan Gerbang sudah menerima tajaan ­daripada beberapa pihak di mana sasaran ­kita seterusnya adalah ­membaiki ­sekurang-kurangnya satu buah ­rumah setiap bulan,” jelas beliau. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas