Berita

Undi 18: Perkasa dan kepercayaan kepada golongan muda – Saifuddin

- Diterbit 18 Februari 2021 4:51 AM MYT

MENTERI Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah menyokong sepenuhnya pelaksanaan Undi 18 yang memberi hak kepada anak muda memilih kerajaan.

Saifuddin menegaskan Undi 18 adalah soal pemerkasaan orang muda dan mereka seharusnya diberikan kepercayaan untuk membuat keputusan dalam semua bidang dan peringkat termasuk mencorak kepimpinan negara.

“#Undi18 ialah soal penghakupayaan orang muda. Fasilitasi permintaan mereka, mereka mahu suaranya didengar dalam membuat keputusan dalam semua bidang dan di semua peringkat, termasuk di Parlimen. Percayalah pada mereka,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Twitter beliau hari ini.

Baru-baru ini, isu pelaksanaan Undi 18 kembali menjadi perdebatan selepas sebuah portal memetik kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebagai berkata anak muda Malaysia belum bersedia untuk menggunakan hak mengundi dan beberapa bentuk pendidikan politik perlu diinstitusikan terlebih dulu.

Bagaimanapun, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dalam kenyataan menafikan beliau menolak pelaksanaan Undi 18 seperti yang dilaporkan dan menyatakan sokongan tidak berbahagi untuk Undi 18. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas