Berita

Under 18 jalin kolaborasi dengan filem Klepet

- Diterbit 3 Jun 2025 10:12 AM MYT

SEMPENA kemunculan filem aksi komedi Klepet, penerbit filem itu Respected Citizen menjalin kolaborasi unik bersama Kadokawa Gempak Starz menerbitkan komik edisi terhad ‘Exclusive Box’ Under 18 x Klepet .

Pelancaran kotak eksklusif itu berlangsung baru-baru ini di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif Kadokawa Gempak Starz, Chris Yew, berkata sebanyak 5,000 kotak eksklusif itu dikeluarkan.

Katanya peminat komik terbitan Under 18 yang gagal mendapatkannya sewaktu pesta buku baru-baru ini boleh mengikuti laman sosial mereka bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai penjualan kotak eksklusif berkenaan.

Chris Yew, menyifkatkan ini adalah satu penghormatan apabila dapat mengangkat filem tempatan kepada komik.

Ini katanya kali pertama Gempak Starz menjalin kerjasama dengan filem Melayu, sebelum ini katanya mereka pernah menghasilkan komik untuk filem berbahasa Cina untuk Astro.

“Bagi kami idea untuk berkolaborasi ini sangat menarik dan kami berasa sangat bertuah apabila pihak Respected Citizen memilih untuk berkolaborasi dengan kami.

“Kami melihat filem Klepet sesuai dengan konsep komik Under 18, jadi kami tidak berfikir panjang apabila diajak untuk berkolaborasi. Lagipun ini adalah satu projek yang sangat menarik dan kami berharap lebih banyak lagi kolaborasi seperti ini dapat dibuat di masa akan datang,” katanya.

Komik Klepet dihasilkan Zint Lu adalah prekuel kepada filem Klepet. Justeru, jalan cerita daripada komik dan filem adalah berbeza tetapi mengetengahkan watak sama.

Sementara itu, Aeril Zafrel selaku penerbit filem mewakili Respected Citizen, berkata kolaborasi ini menjadi tarikan untuk filem Klepet yang dijangka ditayangkan pada tahun ini.

“Komik Under 18 x Klepet membawakan naratif eksklusif yang menjadi prekuel kepada filem. Jalan ceritanya lebih ke arah dewasa dan dramatik. Kehadiran watak-watak kegemaran seperti Fox dan Jimi dalam kisah yang penuh aksi menjadikan ia lebih menarik.

“Kolaborasi ini membuktikan sinergi antara dua cabang seni antara komik dan filem serta ia mampu memperluaskan capaian kepada khalayak pelbagai lapisan usia,” katanya.

Selain Aeril, Chris Yew; pelukis komik Under 18, Zint Lu, pengarah filem Klepet, Indra Putra dan dua pelakon utamanya Nadhir Nasar dan Aedy Ashraf.

Berharga RM120, set ini dijual pada harga promosi RM99 sempena pelancaran di PBAKL. Set edisi terhad itu mengandungi komik eksklusif, hoodie, pelekat koleksi dan lanyard khas.

Klepet diarahkan Indra Putra (Sanji) mengisahkan tiga sahabat baik—Pali, Jani, dan Wadi—yang sering menghabiskan masa bersama di acara-acara komuniti dan jalanan.

Namun, hidup mereka berubah drastik apabila mereka terserempak dengan seorang wanita Ukraine bernama Lola, yang sebenarnya sedang melarikan diri daripada sindiket penipuan antarabangsa.

Insiden ini membawa ketiga-tiga sahabat ini ke dalam satu pengembaraan yang penuh dengan bahaya, komedi, dan konspirasi luar jangkaan—gabungan suasana misteri dan kelakar yang menyentuh pelbagai aspek masyarakat hari ini.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas