PESERTA dari Kajang, Ahmad Shuffin Roissuddin dinobatkan sebagai juara Cabaran Joran Kuala Lumpur 2025 selepas berjaya menaikkan seekor ikan patin seberat 15.815 kilogram.
Kemenangannya mengatasi 600 peserta
melayakkannya membawa pulang wang tunai RM5,000 dalam pertandingan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berlangsung di Tasik Permaisuri semalam.
Kongsinya yang merupakan seorang penghantar makanan, dia menggunakan umpan roti berperisa pandan dan hanya mengambil masa lapan minit untuk mendaratkan ikan tersebut.
“Sudah lebih dua puluh tahun saya menyertai pertandingan memancing. Alhamdulillah, kali ini tuah menyebelahi saya. Wang kemenangan ini saya akan kongsikan bersama rakan-rakan yang sentiasa memberi semangat selama ini.
“Ini sekadar suka-suka, tak sangka pula rezeki jadi juara,” katanya.
Terdahulu, majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Naquib Hamdan serta Timbalan Pengarah Kanan, Izwan Razif Salehaped.
Tempat kedua dimenangi oleh Mahammad Shahzarul Aqil Mohd dari Seremban, Negeri Sembilan dengan tangkapan seberat 14.360 kilogram sekali gus membawa pulang RM2,000.
Manakala tempat ketiga dengan wang tunai RM1, 000 menjadi milik Mohd Faizlan Zallani yang berjaya menaikkan ikan seberat 13.840 kilogram juga dari spesies patin.
Pertandingan tersebut merupakan siri kedua Cabaran Joran Kuala Lumpur 2025 yang dianjurkan bersempena sambutan Hari Pekerja. Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk menggalakkan gaya hidup sihat serta menghargai sumbangan para pekerja, termasuk komuniti kaki pancing.
Ia juga selari dengan hasrat Datuk Bandar Kuala Lumpur yang menggalakkan
penglibatan kerjasama sektor awam, swasta, rakyat dan rakan strategik.
Ini juga penting untuk mewujudkan masyarakat warga kota ke arah Liveable & Loveable City.
Siri ketiga Cabaran Joran Kuala Lumpur 2025 dijadual berlangsung di Tasik Metropolitan Kepong sempena sambutan Hari Kebangsaan akan datang. – WILAYAHKU