TERDAPAT kemungkinan sindiket akan menggunakan kanak-kanak untuk tujuan scam (penipuan) atau dimanipulasi sindiket scammer untuk mengaut keuntungan secara haram.
Demikian tegas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mengenai taktik demi taktik digunakan sindiket terbabit bagi menjerat golongan kanak-kanak pula.
Secara modus operandinya, anggota sindiket akan menghubungi atau merapati kanak-kanak termasuk remaja bagi mendapatkan nombor akaun atau butiran peribadi ibu bapa atau penjaga masing-masing dan kemudiannya mengakses butiran berkenaan.
Biarpun tidak mendedahkan statistik mengenai anak-anak yang menjadi mangsa scammer itu, namun beliau mahu ibu bapa atau penjaga supaya mengambil langkah berhati-hati.
“Nasihat secara amnya adalah supaya ibu bapa sentiasa berhati-hati dan menasihatkan anak-anak mereka untuk tidak terjebak dalam apa-apa juga pelawaan (daripada pihak) yang disyaki scammer.
“Hal demikian kerana memang terdapat kemungkinan sindiket akan menggunakan kanak-kanak juga untuk tujuan scam. Jadi lebih baiklah berhati-hati, itulah nasihat saya,” katanya kepada Wilayahku.
Beliau memberitahu sepanjang tahun lalu JSJK telah membuka 41,701 kertas siasatan dengan nilai kerugian keseluruhan RM3.11 bilion berkait pelbagai kesalahan jenayah komersial.
Katanya, kes-kes penipuan dalam talian yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (kesalahan tipu) mencatatkan sejumlah 35,368 kes bersamaan 84.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Dari aspek pertuduhan katanya, sejumlah 16,813 kes atau 40.3 peratus daripada keseluruhan kes yang disiasat telah berjaya dituduh di mahkamah.
Bakinya pula jelas beliau masih dalam siasatan.
“Antara lain, sepanjang tahun 2024 jabatan ini turut memberikan fokus kepada aktiviti pencegahan yang bermatlamat untuk memberikan informasi kepada masyarakat berkaitan ancaman jenayah komersial serta modus operandi terkini yang digunakan agar ia dapat digunakan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kepada sindiket penipuan.
“Untuk itu JSJK telah melaksanakan sejumlah 10,406 aktiviti pencegahan yang merangkumi pelbagai aktiviti kempen, pameran, ceramah, kolaborasi media dan sebagainya,” katanya.
Menurut beliau berdasarkan rekod, kes penipuan dalam talian mencatatkan kategori kes yang tertinggi bagi kedua-dua tahun 2023 dan 2024.
Pada 2023 jelasnya sejumlah 34,495 kes penipuan dalam talian telah dicatatkan dan jumlah ini bersamaan 85.5 peratus daripada jumlah keseluruhan 40,350 kes yang disiasat pada tahun tersebut.
“Pada tahun lalu, jumlah kes penipuan dalam talian meningkat sebanyak tiga peratus kepada 35,368 kes bersamaan 84.5 peratus berbanding keseluruhan kes yang dicatatkan pada tahun tersebut.
“Walau bagaimanapun perbandingan terperinci menunjukkan hanya dua kategori jenayah yang menunjukkan peningkatan iaitu jenayah telekomunikasi (peningkatan 42 peratus) selain pelaburan tidak wujud (peningkatan 18 peratus),” katanya.
Ramli berkata, sepanjang tahun lalu sejumlah 2,824 kes phone scam direkodkan dengan kerugian keseluruhan RM142,077,549.77.
Daripada jumlah itu seramai 220 orang mangsa adalah golongan remaja berusia 15 tahun sehingga mereka yang baru menginjak dewasa iaitu 20 tahun.
Bagi kes love scam pula katanya taktik yang digunakan oleh sindiket penipuan semakin kompleks dan pelbagai.
Jelas beliau, ini membuatkan ramai mangsa terjebak dalam perangkap mereka tanpa disedari.
“Jika dilihat berdasarkan pecahan umur, individu berusia 15 sehingga 20 tahun tidak ketinggalan terlibat menjadi mangsa iaitu 32 orang pada 2023 tetapi menurun kepada 23 orang pada tahun lalu,” katanya.
Tambahnya peningkatan kes-kes jenayah komersial yang direkodkan pada tahun lalu merupakan impak yang sememangnya dijangka dan ia disebabkan oleh peralihan gaya hidup yang tertumpu kepada penggunaan lebih banyak aplikasi digital.
Oleh yang demikian katanya, dalam mendepani cabaran tahun 2025, JSJK komited untuk memperkasakan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kebolehan melalui program-program latihan yang bersesuaian. – WILAYAHKU