Berita

Uji fizikal, tawan puncak Menara KL

NAZLI (belakang dua dari kanan) bersama barisan penaja dan rakan strategik utama yang akan menjayakan Program KL Tower International Towerthon Challenge pada 15 Oktober nanti.
- Diterbit 8 September 2023 2:00 AM MYT

SELEPAS tertangguh ­seketika susulan wabak COVID-19, Menara Kuala Lumpur ­kembali menganjurkan KL Tower International Towerthon Challenge bagi edisi ke-21 pada 15 Oktober ini.

Bertemakan Beat The Limit, ia diadakan bertujuan untuk ­memberi peluang kepada para peserta yang ingin menguji ketahanan fizikal dan mental serta mencabar diri ­untuk menawan puncak Menara Kuala Lumpur dengan mendaki sebanyak 1,576 anak tangga sehingga ke Dewan Bankuet Megaview yang terletak kira-kira 288 meter.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nazli Saad berkata acara sukan ­tahunan ini akan bermula seawal pukul 5 pagi dan mempertandingkan enam kategori iaitu terbuka ­lelaki dan wanita (19 hingga 40 ­tahun), lelaki dan wanita veteran (41 tahun ke atas) dan kategori remaja ­lelaki dan perempuan (18 tahun ke bawah).

“Kita sasarkan penyertaan ­sebanyak 3,000 peserta tetapi ­setakat catatan rekod sehingga kini (Selasa), kita telah mendapat ­lebih kurang 1,000 penyertaan dalam ­kalangan peserta tempatan termasuk antarabangsa seperti Singapura, Kenya, Jepun dan Chinese Taipei.

“Bagi warganegara Malaysia yang ingin menyertai boleh ­menikmati harga istimewa RM90 sehingga 16 September ini berbanding ­harga biasa RM160 manakala peserta ­antarabangsa juga boleh ­mendaftar sekarang pada harga RM120 berbanding harga biasa RM240,” kata beliau ketika berucap pada ­sesi sidang media Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2023 di Dewan Bankuet Megaview, Menara Kuala Lumpur pada Selasa.

Menurut Nazli, para peserta ­juga berpeluang untuk ­memenangi ­hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM32,500 di mana 100 ­peserta dengan catatan masa yang terbaik merangkumi enam kategori tersebut berpeluang memenangi ­t-shirt finisher.

“Lebih banyak hadiah dan ­barangan percuma akan ­diberikan kepada para peserta yang ­mengambil bahagian. Oleh itu, saya ingin ­mengajak semua ­peminat acara ­sukan tahunan ini untuk ­mendaftar di www.checkpoint.asia sehingga 14 Oktober ini,” ujar ­beliau ­para peserta turut ditawarkan harga istimewa untuk merasai pengalaman ke Sky Deck dan Sky Box pada harga RM20 seorang dengan hanya menunjukkan bib di kaunter tiket untuk ­menikmati promosi pada hari acara tersebut.

Beliau juga turut ­mengucapkan terima kasih kepada Turkish Airlines di atas kesudian menjadi ­penaja utama bagi acara tersebut selain kerjasama pelbagai pihak ­seperti Kementerian Belia dan Sukan, Tourism Malaysia, Nestle, Syauqi Group, N8 Nutrition dan lain-lain.

Sementara itu, Pengarah Kanan Promosi Antarabangsa (America, Europe dan Oceania) Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata program ­tahunan ini telah bertukar ­menjadi ­acara ­sukan khas dan secara tidak langsung membantu mempromosikan Menara Kuala Lumpur sebagai tempat pelancongan bagi ­aktiviti ­kebudayaan dan pengembaraan yang mesti dikunjungi.

“Pelancongan sukan sentiasa menjadi salah satu tumpuan ­utama pelancongan kami. Acara ini ­lebih daripada sekadar pertandingan di mana ia bukan sahaja ­menarik pelancong sebagai peserta ­malah meningkatkan pembangunan dan promosi pelancongan sukan di Malaysia.

“Kami (Tourism Malaysia) ­berharap acara ini akan ­mendapat sokongan penyertaan dari orang ­ramai dan akan terus bekerjasama dengan Menara KL untuk ­mempergiatkan promosi bagi ­pertumbuhan sektor pelancongan,” kata beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas