Berita

UiTM tambah tempoh pengecualian cukai sewa premisnya kepada peniaga

- Diterbit 28 Januari 2021 8:47 AM MYT

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) memberi lanjutan pengecualian sewaan selama enam bulan kepada para peniaga yang layak, yang menyewa premisnya di seluruh negara.

Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Ir Azraai Kassim berkata ia merupakan sebahagian daripada inisiatif UiTM Prihatin untuk mengurangkan beban para peniaga yang menyewa premis-premisnya di seluruh negara yang terkesan susulan pandemik COVID-19.

“Pengecualian khas ini yang diberikan secara automatik kepada penyewa yang layak membabitkan sejumlah 718 penyewa dengan nilai pendapatan sewaan kepada UiTM kira-kira RM2.74 juta bermula 1 Okt lepas sehingga 30 Mac depan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azraai berkata inisiatif berkenaan adalah selari dengan saranan Menteri Pengajian Tinggi supaya institusi pengajian tinggi memahami kesulitan dan kekangan yang dihadapi para peniaga yang terkesan susulan penularan pandemik COVID-19.

“Walaupun ia memberi kesan kepada pendapatan UiTM, ini merupakan insentif tambahan dan kali kedua dilaksanakan selepas pengecualian pertama selama enam bulan diberikan pada April hingga September tahun lalu. Pengurusan tertinggi universiti bersimpati dan amat memahami ramai peniaga terjejas apabila majoriti pelajar tidak berada di kampus dan belajar secara dalam talian di rumah masing-masing,” katanya.

Katanya diharapkan pengecualian tambahan itu akan memberikan kelegaan kepada para penyewa premis yang terkesan dan membolehkan mereka untuk membuat perancangan semula perniagaan yang terjejas dengan sewajarnya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas