Berita

Ugut dan acu pisau ke arah jiran, kelindan lori dipenjara 3 bulan

MAHKAMAH Majistret Selayang menjatuhi hukuman penjara tiga bulan kepada seorang kelindan lori kerana mengacukan pisau ke arah seorang guru, bulan lalu. Kredit foto oleh: Sinar Harian/ Gambar Hiasan MAHKAMAH Majistret Selayang menjatuhi hukuman penjara tiga bulan kepada seorang kelindan lori kerana mengacukan pisau ke arah seorang guru, bulan lalu. Kredit foto oleh: Sinar Harian/ Gambar Hiasan
- Diterbit 5 Julai 2021 9:55 AM MYT

AKIBAT mengugut sambil mengacukan pisau ke arah jirannya, seorang kelindan lori hari ini dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Seddek Md Sharif, 37, yang mengaku mengugut seorang guru lelaki berusia 46 tahun sambil mengacukan pisau ke arah mangsa dan mengeluarkan kata-kata tidak sopan serta berbaur provokasi dengan niat mendatangkan ketakutan di depan sebuah unit pangsapuri di Jalan Sungai Tua, Batu Caves di sini pada 6.20 petang 27 Jun lepas.

Mohd Seddek didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman dari tarikh dia ditangkap pada 30 Jun lepas.

Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan M. Mariappan merayu hukuman penjara paling minimum atas alasan Mohd Seddek menanggung ibu bapa selain pendapatannya turut terjejas akibat pandemik COVID-19 namun Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, semasa tiba di depan rumahnya, pengadu mendapati tertuduh sedang berdiri di antara rumah mereka.

Apabila pengadu ingin masuk ke dalam rumah, Mohd Seddek telah bertindak memaki hamun mangsa dengan mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan sambil mengacukan pisau ke arahnya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas