Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
SELALUNYA apabila bersiar-siar di pusat bandar Kuala Lumpur waktu menunggu senja berlabuh, saya menyusur sekitar Jalan Tun Perak dan Jalan Raja yang di sebelahnya berdiri Bangunan Sultan Abdul Samad. Bangunan itu secara tidak rasmi sudah lama menjadi ikonik bagi Kuala Lumpur.
Sebahagian besar pelancong luar negara yang melawat Kuala Lumpur pasti nampak bangunan berkubah yang mempunyai menara jam antik itu. Letaknya bersebelahan Dataran Merdeka yang juga tumpuan pelancong.
Pada 1978, bangunan bekas pusat pentadbiran British di Selangor pada abad ke-19 itu pernah menempatkan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum dipindahkan ke Jalan Duta. Malah pernah menjadi pejabat Kementerian Kebudayaan Seni dan Budaya. Bagaimanapun selepas kementerian itu berpindah ke Putrajaya, Bangunan Sultan Abdul Samad terbiar kosong. Begitu juga pejabat Jabatan Penerangan di Jalan Tun Perak yang terbiar hingga kini.
Pemandangan di sekitar Bangunan Sultan Abdul Samad dan beberapa rumah kedai yang terbiar di sekitar sebenarnya tidak begitu cantik di mata pelancong yang sering berlabuh di tepi Dataran Merdeka. Banyak juga rumah kedai yang berusia sekitar seabad terbiar kosong kerana tidak digunakan oleh pemiliknya.
Bagaimanapun pemandangan yang kurang cantik itu berakhir apabila projek pengindahan di sekitar Bangunan Sultan Abdul Samad dimulakan tidak lama lagi. Belanjawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2025 memperuntukkan sebanyak RM11.3 juta untuk pengurusan projek itu dan RM3.4 juta untuk pemuliharaan di kawasan berkenaan.
DBKL sebenarnya cakna dengan nilai yang ada pada bangunan dan rumah kedai yang lama itu. Melalui Belanjawan DBKL 2025, DBKL dengan kerjasama Khazanah Nasional dan Think City Sdn Bhd membangunkan projek Daerah Budaya dan Kreatif Kuala Lumpur (KLCCD) di sekitar kawasan berkenaan.
KLCCD adalah berita gembira kepada warga kota. Kawasan yang dianggap penuh dengan bangunan dan rumah kedai antik itu akan berubah wajah. Tidak sahaja indah malah memperlihatkan kecaknaan DBKL tidak membiarkan bangunan dan rumah kedai kosong dan terbiar.
Difahamkan bagi menzahirkan matlamat KLCCD, pihak Think City bekerjasama dengan pemilik rumah kedai yang terbiar di sekitar kawasan itu untuk dipulihkan melalui kaedah penggunaan semula. Selain Bangunan Sultan Abdul Samad, bangunan Panggung Rex juga antara yang termasuk untuk dibaik pulih dengan mengekalkan ciri-ciri asal.
Menoleh kembali Belanjawan 2024, kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta untuk meremajakan dan menghidupkan semula kawasan pusat bandar Kuala Lumpur itu. Misalnya memanfaatkan dengan sebaik-baiknya banyak rumah kedai dan bangunan kosong dan terbiar.
Projek pemuliharaan itu menandakan kecintaan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada keindahan kawasan berkenaan. Bangunan Sultan Abdul Samad misalnya memang salah sebuah tinggalan penjajah. Bagaimanapun pada sisi yang lain seni bina Mughal memperlihatkan rakaman sejarah keunggulan empayar Islam pada zaman itu.
TAMADUN ISLAM
Ada beberapa perkara menarik tentang bangunan itu dan seharusnya dipulihara sebaiknya. Pertama, reka bentuk kubah bukan dari seni bina yang membawa pengaruh Barat. Kedua, kubah juga bukan berasal daripada seni bina tradisi Nusantara. Sebaliknya ia seni bina Moorish dari tamadun Islam di Sepanyol dan Mughal yang menonjol di India pada abad ke-16 hingga ke-19. Kedua-dua seni bina itu menggabungkan elemen yang mempunyai pertautan amat rapat dengan tamadun dan zaman kegemilangan Islam.
Hal itu menunjukkan Barat dan negara-negara Eropah lainnya terpengaruh dengan keunggulan empayar Islam Uthmaniyah. Sekalipun ketika bangunan itu dibina empayar Uthmaniyah sudah berada pada hujung kegemilangan, tetapi masih berpengaruh. Barat tidak mahu ketinggalan dan menumpang kegemilangan Empayar Uthmaniyah pada seni bina di tanah jajahan mereka.
Kita beruntung, sekalipun bangunan itu satu peninggalan penjajah tetapi mempunyai pertautan yang akrab daripada seni bina yang diangkat pada zaman kegemilangan empayar Islam.
Sekalipun projek mengindahkan kawasan sekitar bangunan ikonik itu merupakan sebahagian pelan induk DBKL 2019, Belanjawan DBKL 2025 memberikan penekanan yang khusus pada projek berkenaan. Sekitar kawasan itu akan berubah wajah dan sesuai dengan kedudukannya sebagai tumpuan pelancong.
KLCCD dilihat sebagai usaha memelihara keaslian, mengadunkan ciri-ciri lama dan baharu pada seni bina yang terdapat di sekitar kawasan berkenaan. Usaha mengindahkan dan melestarikan nilai antik di bangunan itu amat dinantikan oleh warga Kuala Lumpur.
Sesuai dengan projek mengindahkan pusat bandar Kuala Lumpur, perlu juga difikirkan kewujudan sebuah lorong untuk menempatkan deretan kedai buku. Cadangan lorong buku itu lebih pada apresiasi terhadap buku yang menyimpan pemikiran besar daripada generasi kepada generasi.
Malah lorong buku itu perlu khusus untuk buku terpakai. Barangkali ada bertanya, kenapa buku terpakai dan bukan buku baharu? Dalam dunia perbukuan, definisi buku terpakai bukan ‘barang lama’ yang susut nilai. Sebaliknya sesetengah buku itu semakin lama semakin bernilai isi kandungannya.
Sebenarnya lorong buku bukanlah suatu yang baru di bandar-bandar besar di luar negara. Hampir semua bandar besar mempunyai lorong buku atau kawasan khusus menjual buku terpakai yang bukan sahaja dikunjungi oleh orang tempatan, tetapi juga menjadi tumpuan pelancong luar negara.
Konsep pelancongan buku (bibliotourism) juga telah lama dilakukan di luar negara. Industri pelancongan turut digerakkan oleh dunia perbukuan yang unik selain kedai-kedai buku baharu yang bertaraf mega. Peminat buku dari seluruh dunia akan mencari lorong buku sebelum membeli-belah.
Di London misalnya, antara tempat wajib dikunjungi oleh peminat buku dari seluruh dunia ialah Cecil Court. Itulah kawasan buku terbesar di London yang menempatkan deretan kedai buku di kiri dan kanan lorong pejalan kaki. Saban hari lorong itu sesak dengan orang ramai, sebahagian besar peminat dan pemburu buku
Malah kedai buku tertua di Cecil Court, Watkins Book yang mula beroperasi pada 1901 masih teguh berdiri. Secara tidak langsung menjadi ikon lorong buku yang paling besar lagi berpengaruh ini.
Tanpa menafikan peri pentingnya mengindahkan semula bangunan dan rumah kedai lama melalui projek KLCCD, lorong buku wajar menjadi tarikan baharu Kuala Lumpur. Tentulah suatu yang amat mempesona apabila bangunan dan deretan rumah kedai lama diperindahkan dan ada lorong yang menempatkan kedai buku di deretan rumah kedai lama premis yang dibaikpulihkan oleh projek ini.
SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi‚ bukan pendirian Wilayahku.
[Iklan]