KEBERADAAN Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ketika ini secara keseluruhannya digerakkan oleh industri, dari peringkat perancangan program hingga kepada pelaksanaan latihan serta pensijilan.
Demikian dimaklumkan Sekretariat Majlis TVET Negara kepada Wilayahku mengenai antara pembaharuan ketara dalam ekosistem TVET susulan peluncuran Dasar TVET Negara 2030 pada tahun lalu.
Malah jelasnya TVET kini mampu menawarkan program-program baharu berdasarkan bidang tujahan High Growth High Value (HGHV) negara termasuk semikonduktor, automasi industri, aeroangkasa, kenderaan elektrik (EV), keselamatan siber, teknologi digital dan tenaga boleh baharu.
“TVET kini benar-benar digerakkan oleh industri dari peringkat perancangan program hingga kepada pelaksanaan latihan dan pensijilan.
“Perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi serta penggunaan kemudahan latihan industri juga diperkukuh secara menyeluruh, sejajar dengan Teras C Dasar TVET Negara yang menekankan kerjasama industri secara cekap dan produktif.
“Ini turut menyumbang kepada pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), yang memberi keutamaan kepada transformasi sektor perindustrian berteraskan teknologi tinggi dan nilai tambah,” katanya.
Jelas sekretariat tersebut persepsi positif masyarakat terhadap TVET juga telah menunjukkan perubahan ketara menerusi penjenamaan TVET sebagai pilihan utama kerjaya.
Ini katanya dibuktikan melalui peningkatan konsisten dalam kadar kemasukan dan enrolmen pelajar ke institusi TVET.
Pada 2022, jumlah kemasukan ke program TVET ialah 166,577 pelajar, meningkat kepada 175,780 pada 2023, dan melonjak kepada 212,022 pada tahun lalu.
Dari segi keseluruhan enrolmen pula, ia meningkat daripada 394,976 pada 2022 kepada 407,038 pada 2023, dan mencatat 436,285 pada 2024.
“Lebih meyakinkan, kadar kebolehpasaran graduan TVET juga menyaksikan peningkatan daripada 92.5 peratus pada 2022 kepada 94.5 peratus pada 2023 dan mencatat 95.1 peratus pada tahun ini.
“Ini menunjukkan bahawa program TVET yang dilaksanakan di negara kita semakin relevan dan responsif terhadap kehendak industri.
“Melalui reformasi dasar dan peningkatan daya tarikan TVET, kerajaan yakin TVET akan menjadi pemacu utama dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, berpendapatan tinggi dan berdaya saing selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
Jelasnya peluncuran Dasar TVET Negara 2030 pada tahun lalu menjadi dokumen strategik utama dalam menyelaras pelaksanaan TVET negara.
Dasar ini katanya memperincikan lima teras utama termasuk tadbir urus bersinergi, laluan pendidikan bertaraf dunia, kerjasama industri cekap, pembiayaan mampan serta pemantapan imej TVET sebagai pilihan utama kerjaya.
“Ia memberi fokus kepada penyediaan tenaga kerja mahir yang berkualiti tinggi, berdaya saing dan berpendapatan tinggi selaras dengan kehendak pasaran buruh semasa dan masa hadapan,” katanya.
Sementara itu permohonan kemasukan ke program-program TVET bagi Kursus Sepenuh Masa Ambilan Perdana Julai 2025 mula dibuka pada 14 April hingga 15 Jun melalui platform UP_TVET.
Sistem UP_TVET ini merupakan platform permohonan berpusat (single window) bagi permohonan ke program TVET di institusi-institusi merentasi kementerian, sekali gus memberi peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta individu yang berminat untuk meneroka bidang kemahiran yang relevan dengan keperluan industri.
Program ditawarkan dalam ekosistem TVET merangkumi pelbagai bidang seperti pembuatan, pertanian moden, pembinaan, perkhidmatan, teknologi maklumat dan kesihatan yang menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri.
Selain itu, peluang menyambung pengajian dalam TVET turut terbuka sepanjang tahun dengan pelbagai pilihan fleksibel melalui Sistem UP_TVET.
Menerusi UP_TVET Flexi, yang dibuka sejak Januari 2025, membolehkan individu mengikuti latihan kemahiran secara modular dan anjal, mengikut kesesuaian jadual masing-masing.
Permohonan dalam portal UP_TVET boleh dibuat melalui https://mohon.tvet.gov.my atau muat turun aplikasi MyTVET. Menerusi aplikasi MyTVET ini, pengguna turut boleh menyemak status permohonan dan mengakses maklumat berkaitan institusi TVET di Malaysia. – WILAYAHKU