Berita

TVET janji peluang pekerjaan besar untuk anak muda

- Diterbit 10 September 2024 12:43 PM MYT

BIDANG Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak boleh lagi dilihat sebagai kerjaya pilihan kedua, kerana ia kini menjanjikan peluang pekerjaan yang besar.

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Zuleah Darsong berkata anak muda yang memasuki institusi TVET, berpeluang cerah memperoleh kerjaya yang cemerlang selain penerokaan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata perkara itu terbukti dengan penyertaan 15 belia berkemahiran tinggi Malaysia, yang bersaing di peringkat antarabangsa pada pertandingan WorldSkills (WSC 2024) di Lyon, Perancis bermula esok.

“Kita harapkan belia yang sertai pertandingan (WSC 2024) ini, akan menjadi contoh kepada mereka yang sedang mengikuti kemahiran di institut kemahiran TVET awam atau swasta, dan juga pelajar yang bakal memasuki TVET.

“TVET memang orang kata ada kerjaya di masa depan, asalkan mereka berminat mengikuti pengajian atau latihan di institut kemahiran TVET dengan bersungguh-sungguh. Insya-Allah kejayaan akan bersama,” katanya kepada Bernama ketika meninjau persiapan acara WSC 2024 di sini hari ini.

Pada WSC 2024, Malaysia diwakili oleh 15 belia berkemahiran terdiri daripada pelajar Institusi Latihan Kemahiran Awam serta Institusi Pengajian Tinggi, yang akan berentap dalam 14 bidang kemahiran daripada 62 bidang kemahiran dipertandingkan.

WSC 2024 bermula esok hingga 15 Sept ini mempertandingkan 62 bidang kemahiran, dan Malaysia menyertai 14 bidang antaranya Intergrasi Sistem Robot, Penyelesaian Perisian Teknologi Maklumat bagi Perniagaan, Teknologi Kenderaan Berat dan Pembinaan Digital.

Malaysia menyasarkan memenangi sekurang-kurangnya tiga pingat pada penyertaan edisi kali ini. –  BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas