Berita

TVET bakal beri impak besar

- Diterbit 16 Jun 2025 7:42 PM MYT

PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bakal memberi impak besar kepada ekonomi negara, berikutan perubahan besarnya kepada landskap pekerjaan global.

NURADLI

Walau bagaimanapun Bendahari Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Profesor Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata kemahiran sahaja kini tidak mencukupi sebaliknya TVET perlu dikombinasikan dengan kemahiran teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, robotik dan mekanikal.

Katanya ini amat penting supaya tenaga kerja yang bakal dilahirkan mampu berdaya saing sekali gus meningkatkan produktiviti negara.

“Tenaga kerja yang memiliki kemahiran dalam bidang teknologi, pembinaan, elektrikal, automotif kini semakin menjadi buruan majikan. Dulu orang berlumba-lumba ke universiti untuk mendapatkan segulung ijazah, mereka hanya mempelajari teori tetapi tidak memiliki kemahiran.

“Apabila ingin melangkah ke dunia pekerjaan, barulah mereka sibuk mencari ilmu kemahiran. Tapi kini kemahiran diperlukan dalam industri untuk melaksanakan pelbagai kerja.

“Namun ia tetap datang bersama cabaran. Akan datang, TVET perlu beradaptasi dengan AI dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang mana mereka perlu menggabungkan kemahiran contohnya dalam bidang automotif dengan penggunaan AI,” katanya.

Menurut beliau memiliki kemahiran saja tanpa diadaptasi dengan kecanggihan teknologi hanya menyebabkan lepasan TVET bakal ketinggalan dan kerja-kerja mereka berpotensi diambil alih teknologi.

“Selain AI, gabungan penggunaan robotik dan mekanikal juga perlu diperkukuh agar mempunyai daya saing malah produktiviti juga akan meningkat. Bukan hanya bergantung kepada satu jalan saja.

“Kalau ada kemahiran tetapi tidak mahir dalam teknologi AI atau robotik, tidak mustahil pekerjaan rutin akan digantikan dengan penggunaan teknologi. Dulu orang nampak TVET lebih kepada baiki kereta, penyaman udara dan penghasilan perabot.

“Sebelum ini ia dilakukan secara manual tetapi sekarang kita perlu gabungkan robotik dan automatik yang akan memudahkan lagi kerja. Mungkin kita rasa seperti mustahil untuk dilaksanakan tetapi kita lihat bagaimana perbincangan melalui Zoom kini boleh dilaksanakan,” katanya.

Pelan pemetaan juga katanya perlu disediakan untuk masa depan supaya negara lebih bersedia.

Kerajaan katanya mungkin sedang atau sudah menghasilkan pelan pemetaan kerana perkara itu sudah lama dibincangkan dan ia penting supaya pelajar lulusan TVET mempunyai kemahiran yang mencukupi selaras dengan IR 4.0 apabila masuk ke dunia pekerjaan.

Beliau menambah adalah sangat membimbangkan jika mereka tidak boleh melaksanakan kerja setelah tamat pengajian jika tidak bersedia dengan kemahiran teknologi.

“Pelan pemetaan sangat perlu supaya kita dapat jangkakan apa yang bakal berlaku di masa depan. Kita tak mahu mereka tidak boleh buat kerja selepas selesai belajar, contohnya tiada kemahiran robotik.

“Ini akan menyebabkan pelabur asing pergi ke negara yang tenaga kerja mereka mempunyai kemahiran robotik dan AI. Jadi mereka perlu ada alternatif supaya dapat peluang yang sangat besar kelak, jika betul-betul menggabungkan kemahiran dan teknologi.

“Kepakaran mereka nanti amat-amat diperlukan lebih daripada mereka yang memiliki akademik saja. Akademik bukan tidak penting, tetapi jika mampu menguasai akademik dan kemahiran itu adalah bonus untuk mereka,” katanya.

Beliau turut memberi contoh Jepun yang sudah lama menggabungkan kemahiran dan teknologi di mana petugas pembersihan tidak perlu menggunakan tenaga yang banyak kerana dibantu dengan teknologi canggih seperti mesin menyapu sampah.

“Hanya dengan seorang pekerja saja, mereka dapat membersihkan satu bandar dengan bantuan mesin yang canggih tetapi menerima upah yang tinggi. Selepas ini tidak ada lagi kerja 3D iaitu (danger, difficult, dirty) kerana teknologi dan kemahiran akan membantu memudahkan lagi kerja kita,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas