Berita

Tumpu keseimbangan kos sara hidup

MALAYSIA perlu penyelesaian dasar awam inovatif untuk mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi. - Gambar hiasan
- Diterbit 16 Ogos 2024 9:50 AM MYT

MALAYSIA boleh menjadi negara berpendapatan tinggi sekiranya negara ini masih mengamalkan sistem ekonomi yang realistik, kata Penganalisis Politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff.

Beliau berkata ia mampu direalisasikan dengan memberi tumpuan kepada perbelanjaan berhemah, subsidi bersasar dan mengeksploitasi sumber bidang ekonomi baru yang lebih mampan seperti gas asli, teknologi maju dalam bidang perindustrian, pemprosesan makanan dan sebagainya.

“Kerajaan juga harus menganjur atau memberi tumpuan terhadap keseimbangan kos sara hidup rakyat berbanding dengan kenaikan harga barangan yang mengundang defisit dan inflasi dalam ekonomi negara.

“Tumpuan juga haruslah diberikan kepada penjanaan bidang pekerjaan baharu kepada rakyat berdasarkan kepada kemahiran teknologi tinggi dan terkini, sama ada dalam bidang teknikal, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan sistem maklumat yang dapat bersaing di peringkat antara bangsa,” ujar beliau.

Beliau turut berpandangan penyertaan lebih ramai rakyat tempatan dalam sektor-sektor penting negara bagi mengurangkan kebergantungan kepada jumlah pekerja dari luar juga akan menjimatkan perbelanjaan negara sekali gus meningkatkan penguasaan output keberhasilan produk dengan lebih cekap dan berkesan.

“Antara lain juga kerajaan harus menumpukan lebih banyak inisiatif meningkatkan eksport dagangan negara bagi mengurangkan jurang pendapatan negara berbanding pencapaian ekonomi negara-negara luar,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia memerlukan penyelesaian dasar awam yang inovatif untuk mencapai sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi.

“Ia berlaku ketika negara berada pada titik perubahan, menghadapi cabaran daripada kecerdasan buatan generatif (Gen AI), dinamik perdagangan global yang berubah, ekonomi iklim yang mendesak dan populasi yang semakin berusia.

“Untuk mencapai tahap ini, adalah penting untuk melaksanakan penyelesaian dasar awam yang inovatif yang mencerminkan nilai MADANI seperti kelestarian, kesaksamaan dan keterangkuman melalui kerjasama pelbagai pihak berkepentingan,” ujar beliau ketika berucap secara maya di PRAXIS 2024 yang dianjurkan oleh Institut Kajian Strategik & Antarabangsa (ISIS).

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata Malaysia boleh mencapai status negara berpendapatan tinggi mulai 2027 jika ekonomi negara berkembang 4.0 hingga 5.0 peratus setiap tahun dan ringgit mengukuh kepada sekitar RM4.20 berbanding dolar AS.

“Sekiranya sasaran tersebut dapat dicapai Malaysia juga dapat dilihat berpotensi menjadi kuasa ekonomi Asia atau seterusnya bangkit semula bergelar Harimau Asia.

“Dari segi kompleksiti, faktor tersebut bergantung kepada berapa banyak keluaran eksport dengan kemampuan negara untuk menjadi hub kewangan antarabangsa selain prestasi semasa Bursa Malaysia.

“Ketersediaan Malaysia dalam sektor-sektor ekonomi masa akan datang termasuklah dari segi kemampanan sektor tenaga, pertumbuhan pesat data dan pengeluaran cip elektronik melangkaui penggunaan sedia ada.

“Termasuk juga potensi skala industri ekonomi melangkaui aktiviti sedia ada, disokong pusat data dunia yang akan dikendalikan oleh kecerdasan buatan (AI),” ujar Rafizi ketika Majlis Peluncuran Penemuan Banci Ekonomi (BE) 2023 baru-baru ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas