Berita

Tulis wasiat hanya 30 minit melalui perkhidmatan EzyWasiat

DARI kiri: KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Create Wills Sdn Bhd, Raymond Dinesh Gabriel, Mohamed Rafique dan Ketua Pengurusan Kekayaan dan Pembangunan Perniagaan Patuh Syariah Maybank Islamic, Ahmad Shareza pada Majlis Pelancaran EzyWasiat di Kuala Lumpur.
- Diterbit 24 Jun 2023 3:00 AM MYT

MAYBANK Islamic Berhad baru-baru ini ­melancarkan EzyWasiat, perkhidmatan ­penulisan wasiat yang ­inovatif dan efisien untuk umat Islam di Malaysia.

Perkhidmatan digital baharu ini membolehkan pelanggan merancang dan menyiapsediakan ­wasiat mereka dengan ­lebih cekap dan teratur, ­selaras dengan syariah dan ­undang-undang faraid.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican, EzyWasiat merupakan ­salah satu ­tawaran ­baharu di bawah ­penyelesaian ­pe­ngurusan ­harta patuh Syariah Maybank Islamic yang holistik serta ­merangkumi semua lima teras pengurusan kekayaan – ­penghasilan, pengumpulan, ­perlindungan, penyucian dan pengagihan.

“Platform EzyWasiat dibangunkan ­mengikut model bantuan unik di mana pelanggan akan ­dibantu secara langsung oleh penasihat ­pengurusan kekayaan patuh syariah atau ­pengurus hubungan yang akan ­menggabungkan algoritma faraid untuk memudahkan proses ­penulisan wasiat.

“Pelanggan hanya perlu menyediakan ­dokumen yang betul dan dengan bayaran ­serendah RM600, penulisan wasiat mereka boleh disempurnakan dalam masa 30 ­minit ­sahaja,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Mohamed Rafique berkata tujuan ­utama EzyWasiat adalah untuk memberikan ­kelapangan minda dalam pengurusan harta dan memastikan harta tersebut diuruskan dengan betul setelah pemergian individu.

“Perancangan harta dan warisan ­adalah ­perkara yang harus diberikan keutamaan. Terdapat banyak laporan media yang menyebut harta atau aset bernilai lebih daripada RM70 bilion yang masih belum lagi diagihkan dan ia ­adalah disebabkan kurangnya kesedaran ­tentang kepentingan merancang pembahagian ­harta sebelum kematian,” ujar beliau pelancaran EzyWasiat adalah selaras dengan aspirasi bank untuk membangunkan penyelesaian ­baharu dan inovatif yang dapat memberikan impak positif kepada komuniti secara meluas.

Terdahulu, May­bank Islamic juga telah ­melancarkan ­perkhidmatan dalam talian iaitu EzyQurban untuk memudahkan amalan Qurban sempena sambutan Aidiladha dalam kalangan pelanggannya. Ini juga bagi membolehkan para pelanggan ­merancang kewangan ­mereka ­untuk menunaikan kewajipan Qurban pada ­masa hadapan.

Untuk maklumat lanjut tentang EzyWasiat, termasuk integrasi faraid dalam ­pengurusan harta, layari Maybank.my/EzyWasiat atau ­hubungi Maybank Islamic di [email protected]. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas