POLIS bertindak menahan seorang lelaki berusia 26 tahun dan bekerja sebagai penjual komponen kereta susulan kejadian ‘road bully’ yang tular di media sosial di tepi jalan dekat Persiaran Kayangan, Shah Alam, 6 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan dibuat mangsa iaitu seorang lelaki berusia 49 tahun pada pukul 10.28 malam, di hari sama.
Katanya, kejadian berlaku pada pukul 9.45 malam semasa mangsa sedang memandu kereta untuk pulang ke rumah bersama isteri dan anak perempuannya.
“Tiba-tiba sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu suspek secara melulu dan terus menghimpit kenderaan mangsa.
“Suspek juga bertindak menghentikan kenderaannya di belakang dan datang ke arah kereta mangsa serta mengetuk cermin sebelah pemandu.
“Suspek cuba menarik anak kunci kereta semasa mangsa membuka pintu namun tidak berjaya dan berlaku pertengkaran,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Iqbal berkata, kemudiannya suspek masuk semula ke dalam kenderaan miliknya dan cuba melanggar mangsa sebanyak dua kali.
“Kali pertama berjaya dielak namun kali kedua mangsa dilanggar sehingga terjatuh menyebabkan kaki kanannya digilis tayar kereta suspek.
“Suspek terus memecut laju melarikan diri. Mangsa mengalami kecederaan keretakan kecil di kaki kanan dan mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam,” katanya.
Tambahnya, bertindak atas maklumat, polis membuat tangkapan ke atas suspek pada pukul 5.30 petang semalam di Meru, Klang.
Katanya, suspek tiada rekod jenayah namun didapati positif dadah jenis Benzo selepas dilakukan ujian awal saringan air kencing.
Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307/279 Kanun Keseksaan. – WILAYAHKU