Berita

Tujuh filem cereka bolos kategori Filem Terbaik, FFM 33

- Diterbit 5 Disember 2024 2:27 PM MYT

SAINGAN sengit bagi kategori Filem Terbaik menyebabkan pihak penjurian Festival Filem Malaysia (FFM) ke-33 membuat keputusan mencalonkan tujuh filem dalam kategori itu.

Tujuh filem berjaya bolos dalam kategori Filem Terbaik, FFM 33 ialah Imaginur, Abang Adik, Sheriff: Narko Integriti, Rain Town, Duan Nago Bogho, Mechamato Movie dan Hungry Ghost
Diner.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, persaingan dalam kategori Filem Terbaik pada tahun ini
sangat sengit dan pihak penjurian bersetuju mengumumkan tujuh filem cereka bertanding kerana setiap karya memiliki kekuatan tersendiri.

“Sepatutnya hanya lima filem dipilih dalam senarai Top 5 bagi kategori Filem Terbaik, tetapi barisan juri membuat keputusan memilih tujuh filem. Kami menerimanya kerana sudah mendapat
penjelasan mengenai banyak persaingan tahun ini.

“Melihat senarai tujuh filem yang bolos dalam kategori Filem Terbaik, kami nampak ada peningkatan dari segi kualiti dan saingan. Ini kerana ada filem sudah memenangi banyak
festival antarabangsa dan mendapat kutipan pecah panggung.

“Selain itu, bukan sahaja filem bahasa Melayu, tetapi bahasa Cina dan ada juga filem berlainan genre seperti aksi, drama dan sains fiksyen,” katanya.

Pada tahun ini lebih daripada 100 pencalonan diterima, berikutan dua tahun FFM tidak dianjurkan. Filem dihantar juga melebihi daripada jumlah sebelum ini.

Ditanya kualiti tujuh filem yang bolos dalam kategori Filem Terbaik, kata Azmir, kesemua tujuh filem berkualiti dan layak untuk berada dalam kategori Filem Terbaik dan sudah dianggap sebagai pemenang.

“Setiap filem berjaya dalam kategori Filem Terbaik ada kekuatannya seperti filem Imaginur, Rain Town dan Sheriff. Ini kerana pembikinannya bagus dan mendapat kutipan pecah
panggung, tahun ini.

“Secara kasar, sudah nampak saingan sengit filem Abang Adik arahan Jin Ong yang mendapat 11 pencalonan dan Imaginur arahan Nik Amir Mustapha mendominasi 15 daripada 24
pencalonan,

“Namun, Abang Adik ada kelebihan kerana sudah banyak ditayangkan di festival luar negara dan dapat pengiktirafan antarabangsa. Saya melihat barisan juri akan berhadapan dengan cabaran sukar memilih filem terbaik.

“Kami ada bincang dengan pihak penjurian, walau apapun kena ada pemenang,” katanya.

Malam kemuncak Anugerah FFM 33 bakal berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur, Sabtu ini, jam 8.30 malam.

FFM 33 akan disiarkan secara langsung dari TV2 dan YouTube FINAS. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas