TUDUHAN sesetengah pihak mengatakan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan bersifat autoritarianisme adalah satu tuduhan yang tidak berasas kerana ia bukannya memberikan kekuasaan mutlak kepada mufti.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr Mohamad Azam Mohamed Adil berkata, undang-undang itu mengatur mekanisme semak dan imbang yang melibatkan pelbagai pihak yang berkepentingan sesuai dengan kepakaran masing-masing.
Menurut beliau, tujuan utama RUU itu adalah untuk memberikan panduan yang jelas dalam penerbitan fatwa, bukan untuk membatasi hak kebebasan yang sedia ada.
“Selain itu dalam konteks RUU Mufti Wilayah Persekutuan, ia tidak akan mengikat jabatan fatwa di peringkat negeri. Secara umumnya jika negeri-negeri berkenaan menerima fatwa tersebut maka ia perlu dibawa di dalam muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri.
“Jika semua ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri bersetuju dengan fatwa tersebut, maka fatwa tersebut akan dipersembah kepada raja bagi negeri-negeri berkenaan untuk memohon perkenan dan seterusnya diwartakan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau memberitahu, dalam hal itu jika Parlimen meluluskan RUU tersebut, Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan setiap negeri bagi mengikuti RUU ini kerana Islam ialah urusan negeri dan hal berkaitan Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan raja-raja bagi negeri-negeri.
Katanya, ia jelas disebut di bawah Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh kerana Wilayah Persekutuan itu bukan sebuah negeri, ia tidak mempunyai Dewan Undangan Negeri. Segala undang-undang bagi Wilayah Persekutuan adalah dibuat oleh Parlimen dan Parlimen bertindak sebagai badan perundangan bagi Wilayah Persekutuan. Kuasa dan bidang kuasa Parlimen berkaitan Wilayah Persekutuan, termasuklah dalam hal gubalan undang-undang berkaitan Islam.
“Lantaran itu adalah jelas dalam Perkara 3(5) Perlembagaan Persekutuan ini bahawa Kerajaan Persekutuan juga mempunyai peranan tertentu yang perlu dimainkan dalam hal berkaitan Islam bagi maksud Wilayah Persekutuan. Parlimen menggubal akta berkaitan Islam, dari segi perundangan dan pentadbirannya Islam di Wilayah Persekutuan adalah di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Beliau menambah, RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 hadir dengan tujuan utama untuk memperkukuh institusi kefatwaan di Malaysia, khususnya dalam hal penerbitan fatwa dan hukum Islam.
Katanya, ia juga dirancang untuk menyelaras prosedur penerbitan fatwa, meningkatkan kredibiliti institusi kefatwaan dan menjaga kesucian ajaran Islam. – WILAYAHKU