Fitnah vs Fakta

Tuduhan ‘reformati’ ditepis dengan laporan WCR 2025

- Diterbit 21 Jun 2025 9:49 AM MYT

KEBELAKANGAN ini, buka sahaja media sosial, terdapat segelintir warganet menggelar reformasi yang dibawakan Kerajaan MADANI sebagai ‘reformati’.

Menurut mereka setelah lebih kurang tiga tahun mentadbir negara, kerajaan gagal ‘membahagiakan’ rakyat sebaliknya terus memberi tekanan.

Nampaknya, tuduhan ‘reformati’ itu adalah fitnah semata-mata apabila Malaysia kini berada di kedudukan membanggakan dalam laporan Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2025. Ini menunjukkan usaha reformasi Kerajaan MADANI sedang membuahkan hasil.

Laporan terkini WCR 2025 menunjukkan Malaysia melonjak 11 anak tangga daripada tempat ke-34 pada 2024 kepada kedudukan ke-23, juga merupakan pencapaian terbaik negara sejak 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa prestasi memberangsangkan Malaysia dalam perdagangan, kecekapan pentadbiran dan persekitaran pelaburan menjadi asas kukuh kepada kemajuan ekonomi yang inklusif serta mampan.

“Kita buktikan Malaysia mampu melonjak jauh dengan tekad politik, iltizam seluruh jentera kerajaan dan kerjasama erat sektor swasta.

“Pencapaian ini milik semua rakyat Malaysia. Ia adalah antara asas penting dalam perjalanan kita untuk meletakkan negara ini dalam kelompok ekonomi paling berdaya saing menjelang 2033 demi masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak kita,” kata Anwar dalam catatan terbaru di laman Facebook beliau, baru-baru ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz pula berkata peningkatan daya saing negara sebanyak 11 anak tangga itu mencerminkan kemampuan industri tempatan yang penting untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih.

“Pendekatan kerajaan untuk meningkatkan daya saing berdasarkan prinsip ‘whole of government’ juga membuktikan kesungguhan kita dalam memacu penambahbaikan dan pembaharuan struktur di Malaysia secara menyeluruh,” katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata ekonomi negara berada pada peringkat pembaharuan yang berterusan, serta mengukuhkan hala tuju untuk berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing sebelum 2033.

“Kedudukan keseluruhan dipacu oleh peningkatan dalam tiga faktor iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan dan kecekapan perniagaan.

“Faktor prestasi ekonomi meningkat empat anak tangga ke kedudukan keempat terbaik berbanding tempat kelapan tahun lepas. kecekapan kerajaan dan kecekapan perniagaan kedua-duanya meningkat lapan anak tangga,” katanya.

WCR diterbitkan setiap tahun oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) yang berpangkalan di Switzerland.

Ia merupakan laporan komprehensif yang menilai sesebuah ekonomi berdasarkan keupayaan menjana dan mengekalkan persekitaran mesra perniagaan yang menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas