Berita

Tuduh kerajaan tidak cakna keselamatan rakyat, ini jawapan KKM

- Diterbit 24 November 2023 12:25 AM MYT

KECOH baru-baru ini tentang penyakit Tibi merebak dengan pantas di sekitar kawasan Cheras dan Kuala Lumpur sehingga menjadi ancaman kepada penduduk setempat.

Malah individu yang menyebarkan video itu juga turut mengingatkan orang ramai agar memakai pelitup muka jika keluar ke kawasan tersebut. Berita palsu yang dengan mudah tersebar telah mendatangkan situasi panik kepada penduduk.

Ramai yang mula mempercayai perkara itu dan segelintir netizen turut mempersoalkan pihak bertanggungjawab yang dikatakan tidak cakna dengan keselamatan rakyat.

Sepatutnya semua pihak jangan cepat melatah dan mempercayai bulat-bulat apa yang disebarkan di laman sosial lantas menuduh kerana semuanya masih berada dalam kawalan.

Buktinya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan penyakit Tibi sentiasa ada di negara ini namun ia bukanlah wabak dan keadaannya masih terkawal.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata taburan penyakit itu hanya berlaku di Lembah Klang dan Bahagian Kesihatan Awam KKM sedang meneliti isu berkenaan.

Malah, pihak KKM turut menyarankan orang ramai yang mengalami batuk berpanjangan untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan.

“Perkembangan penyakit Tibi boleh dirujuk melalui aplikasi MySejahtera kerana KKM sudah merekodkan jumlah kes di kawasan masing-masing atau berdekatan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Minggu Kesedaran Kerintangan Antimikrob (WAAW) Peringkat Kebangsaan 2023 dan Pelancaran Pelan Tindakan Kerintangan Antimikrob Malaysia (MyAp-AMR 2022-2026), baru-baru ini.

Dr Zaliha berkata, jumlah pesakit akan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam masa terdekat.

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana penyakit itu boleh dicegah melalui suntikan vaksin,” ujar beliau.

Sebagai info, Tuberkulosis (Tibi) atau batuk kering adalah penyakit yang melemahkan badan dan menjadi endemik di negara ini berpunca daripada bakteria Mycobacterium Tuberculosis.

Mereka yang paling terdedah kepada jangkitan penyakit ini adalah orang tua, mereka yang rendah imuniti seperti pesakit kencing manis, menjalani terapi steroid kronik dan penghidap HIV. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas